Bangi, 23 Januari 2025 – Perbincangan kedua antara Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berlangsung hari ini, susulan perbincangan awal yang diadakan pada 3 Disember 2024. Delegasi NIOSH diketuai oleh Mej (B) Hj Hanif Maidin, Setiausaha Eksekutif NIOSH. Turut hadir bersama PVTLDM ialah Bahagian Kerjaya & Sosioekonomi (BKS) Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.
Perbincangan ini bertujuan memperkukuhkan kerjasama dalam menyediakan kursus-kursus keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) khusus untuk meningkatkan kebolehpasaran Veteran Tentera Laut (VTL). Antara kursus yang telah dipohon untuk dilaksanakan adalah:
Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai pengiktirafan kredit kursus yang telah dijalankan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Usaha ini dijangka mempercepatkan proses pelaksanaan kursus dan menjimatkan kos bagi para veteran. Kredit ini akan membolehkan kursus disesuaikan dengan pengalaman dan kemahiran yang telah dimiliki oleh VTL semasa berkhidmat.
Sejajar dengan pengumuman Menteri Sumber Manusia mengenai tawaran 10,000 kursus OSH Coordinator untuk rakyat Malaysia, NIOSH telah bersetuju menjadikan veteran sebagai salah satu kumpulan keutamaan. Tawaran kursus ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat, memberi peluang kepada VTL untuk mempersiapkan diri mereka dalam sektor keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Bagi kursus OSH Train The Trainer (TTT), NIOSH turut mengesyorkan PVTLDM mendapatkan pengiktirafan untuk jurulatih TLDM setaraf dengan TTT daripada HRDC dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Langkah ini bertujuan meningkatkan kredibiliti dan pengiktirafan jurulatih TLDM di peringkat nasional. Berkenaan dengan yuran kursus, NIOSH berjanji untuk menawarkan diskaun istimewa khusus untuk VTL. Tawaran ini akan memastikan lebih ramai veteran dapat menyertai kursus tanpa bebanan kewangan yang tinggi.
Pihak NIOSH memuji inisiatif dan visi PVTLDM dalam memperkasa kebolehpasaran VTL, selaras dengan keperluan industri ekonomi Biru yang semakin berkembang. Kolaborasi strategik ini dijangka memberikan impak besar kepada ahli PVTLDM, membolehkan mereka menyumbang secara signifikan dalam sektor keselamatan pekerjaan di Malaysia. Kolaborasi ini adalah sebahagian daripada usaha PVTLDM untuk terus memperjuangkan kebajikan dan kebolehpasaran ahlinya dalam pelbagai bidang, memastikan mereka mampu menghadapi cabaran pasca-persaraan dengan lebih baik. Semoga kerjasama ini membuahkan hasil yang bermanfaat kepada semua pihak yang terlibat.