Kuala Lumpur, 10 Mac 2025 – Bengkel Strategik Program MyWira 2025 anjuran TalentCorp Malaysia telah berlangsung di Hilton Kuala Lumpur dengan penyertaan pelbagai agensi dan organisasi berkaitan. Bengkel ini bertujuan untuk memperkukuhkan kebolehpasaran veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam sektor-sektor industri utama di Malaysia.
Bengkel dimulakan dengan taklimat daripada beberapa agensi, termasuk TalentCorp, Markas Angkatan Tentera Malaysia (Mk ATM), Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), PERHEBAT, PERKESO, dan HRDCorp. Turut serta dalam sesi perkongsian adalah Micron Memory Malaysia, yang membentangkan inisiatif MyWira dalam membantu penempatan kerja bagi veteran ATM.
Sesi perbincangan diteruskan mengikut kumpulan industri masing-masing, dengan fokus utama kepada kebolehpasaran veteran dalam bidang berkaitan. Presiden PVTLDM menumpukan perhatian kepada industri maritim, selari dengan aspirasi untuk menyediakan veteran TLDM ke dalam pasaran ekonomi biru.
Salah satu cabaran utama yang dikenalpasti dalam industri ini adalah pengiktirafan sijil yang dikeluarkan oleh TLDM, yang masih belum diakui oleh pihak industri maritim komersial. Untuk mengatasi isu ini, cadangan untuk memperkenalkan program fast track telah dibincangkan. Pihak Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama TalentCorp diharapkan dapat menjadikan isu ini sebagai agenda nasional. Langkah ini bukan sahaja membolehkan veteran TLDM meneruskan kepakaran mereka di kapal komersial, malah dapat membantu mengawal kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor maritim.
Usaha ke arah penyelesaian telah dimulakan dengan kerjasama erat antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan KESUMA, dan diharapkan pelaksanaan dapat direalisasikan dengan segera. PVTLDM turut merakamkan penghargaan kepada TalentCorp atas sumbangan mereka kepada PVTLDM melalui inisiatif MyMahir di bawah program Ihya’ Ramadan.
Bengkel ini menjadi platform penting dalam memastikan kelangsungan kerjaya veteran ATM, sekaligus memperkasakan peranan mereka dalam pelbagai sektor ekonomi negara.