Kilang Pemprosesan Minuman Kesihatan Veteran Tentera Laut

Banting, 29 April 2025 – Usai menghadiri Majlis Aidilfitri anjuran Koperasi Perwira ATM (KPRAMD) di Wisma Perwira, Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) bergegas ke Banting bagi menyantuni seorang lagi usahawan berjaya dalam kalangan Veteran TLDM yang kini aktif dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Veteran ini, meskipun belum menyertai PVTLDM secara rasmi, telah membuktikan keupayaan luar biasa apabila produk minuman kesihatan keluarannya berjaya diiktiraf sebagai minuman rasmi Persatuan Bolasepak Selangor (FAS). Pencapaian ini merupakan hasil usaha gigih beliau menepati pelbagai syarat dan penilaian ketat oleh pakar nutrisi FAS, termasuk ujian kandungan dan pematuhan piawaian industri makanan sukan.

Lebih membanggakan, produk syarikat beliau kini sedang melalui fasa akhir untuk mendapat kelulusan rasmi daripada Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai minuman rasmi atlet negara. Ini sekali gus membuktikan bahawa veteran TLDM bukan sahaja berdisiplin dalam tugas ketenteraan, malah mampu mengadaptasi kemahiran tersebut dalam dunia keusahawanan moden.

Dalam lawatan ke kilang pemprosesan di Banting, Presiden PVTLDM berpeluang meneliti sendiri proses pengeluaran yang melibatkan kawalan kualiti, pematuhan HACCP, serta pembungkusan akhir. Perbincangan turut diadakan bagi meneroka peluang kolaborasi strategik antara syarikat veteran ini dan PVTLDM, khususnya dalam penghasilan produk berjenama PVTLDM yang boleh dijadikan sebagai sumber penjanaan dana persatuan di setiap cawangan negeri.

Veteran berkenaan turut menyatakan keterbukaan untuk menyertai PVTLDM dan bersedia menyumbang pengalaman serta kepakaran beliau dalam pengurusan operasi kilang kepada rakan-rakan veteran yang lain. Langkah ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada PVTLDM dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan veteran yang berdaya saing dan berskala industri.

Inisiatif ini juga selaras dengan hala tuju Inisiatif K-3 Keusahawanan PVTLDM, yang antara lain memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti veteran dalam bidang perniagaan melalui bimbingan, kolaborasi dan peluang rangkaian yang luas.

Alhamdulillah, pendekatan baharu PVTLDM yang lebih mesra, inklusif dan proaktif dalam menyantuni veteran terbukti berjaya menarik minat mereka untuk kembali bersama persatuan. Semoga lebih ramai usahawan veteran tampil ke hadapan dan menjadikan PVTLDM sebagai platform penghubung ke arah masa depan yang lebih gemilang.