MINDEF, 14 Januari 2025 – Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara), telah mengadakan kunjungan hormat kepada Asisten Ketua Staf Material Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Dr. Azizi bin Hj Ahmad Sarkawi. Pertemuan tersebut merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan kerjasama antara PVTLDM dan TLDM, di samping membincangkan pelbagai perkara berkaitan kesejahteraan veteran TLDM.
Antara topik utama yang dibincangkan adalah inisiatif PVTLDM yang selaras dengan dasar 3K, iaitu Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan yang bertujuan untuk membuka peluang kerjaya kedua bagi veteran TLDM di dalam sektor Ekonomi Biru. PVTLDM berusaha menyediakan platform bagi para veteran untuk terus aktif dan relevan dalam pembangunan ekonomi negara dengan mengambil kira kemahiran serta pengalaman yang dimiliki oleh mereka semasa berkhidmat dalam TLDM.
Selain itu, Kdr Khairil Hariss turut berkongsi perancangan bagi pelaksanaan acara-acara amal yang dijadualkan pada tahun 2025. Acara-acara ini bertujuan untuk menjana pendapatan bagi PVTLDM, sekaligus meningkatkan sumber kewangan untuk pelbagai program kesejahteraan veteran. Perancangan ini telah dimaklumkan kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain dan mendapat sokongan penuh dari TLDM. Diharapkan acara-acara amal ini dapat memberi manfaat yang lebih besar kepada para veteran dan komuniti keseluruhannya.
PVTLDM juga memandang serius dalam memastikan potensi sebenar veteran TLDM dapat diangkat dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan negara. Dengan sokongan padu daripada TLDM, PVTLDM percaya bahawa veteran TLDM akan terus memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan negara, terutamanya dalam sektor Ekonomi Biru yang semakin berkembang pesat. InshaAllah, usaha-usaha ini akan memperkasa veteran TLDM dan memastikan mereka terus mendapat manfaat daripada pencapaian yang telah diraih sepanjang perkhidmatan mereka.