Kunjungan TalentCorp untuk Meningkatkan Potensi Kebolehpasaran Veteran TLDM dalam Ekonomi Biru

Cyberjaya, 20 Januari 2025 – Presiden Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) telah menerima kunjungan dari TalentCorp, sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai usaha meningkatkan kebolehpasaran Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam sektor Ekonomi Biru. Ekonomi Biru, atau Ekonomi Maritim, melibatkan pelbagai industri penting seperti pelayaran, pembinaan kapal, penyelenggaraan kapal, pengurusan pelabuhan, perkhidmatan keselamatan maritim, perikanan, serta minyak dan gas.

Bagi Veteran TLDM, sektor-sektor ini sangat dekat di hati kerana ia menyentuh pengalaman dan kepakaran yang telah dibangunkan sepanjang perkhidmatan mereka dalam TLDM. TalentCorp, melalui peranan aktif Future Talent Skill Council (FTSC), berupaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri ini dengan mengenal pasti keperluan semasa dan menyelarasinya dengan kebolehan tenaga kerja yang ada.

Dalam perbincangan tersebut, TalentCorp turut berkongsi hasil profiling yang dilakukan antara veteran dan graduan universiti. Profiling ini menunjukkan jurang yang ketara di antara kedua-dua kumpulan, di mana veteran mempunyai kelebihan yang lebih tinggi dalam beberapa aspek. Sebagai contoh, dalam aspek pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), veteran menduduki tempat pertama, sementara graduan berada di tempat keempat. Aspek kedua yang menunjukkan kelebihan veteran adalah dalam bidang kepimpinan atau ‘enterprising’ yang menjadi kekuatan utama mereka.

TalentCorp juga membincangkan mengenai Inisiatif Veteran MyWIRA yang khusus untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Meskipun TalentCorp sudah memiliki 16 program industri, sektor maritim masih belum diterokai sepenuhnya, dan ini membuka ruang untuk kolaborasi lebih lanjut antara TalentCorp dan PVTLDM.

Selain itu, TalentCorp memperkenalkan inisiatif MyMAHIR, sebuah platform kerangka kemahiran masa depan yang menyediakan panduan laluan kerjaya spesifik. Inisiatif ini juga dibuka untuk remaja di bawah umur 15 tahun, dengan harapan dapat membantu mereka lebih jelas mengenai hala tuju kerjaya yang diinginkan.

Sebagai usaha berterusan untuk memperkasakan kebolehpasaran veteran, PVTLDM merancang untuk menjemput wakil TalentCorp untuk menyertai program Sembang Santai Selasa (3S) dalam masa terdekat. Di bawah Inisiatif Kerjaya Kedua (K-2), PVTLDM bertekad untuk mengangkat potensi sebenar veteran TLDM dan membantu mereka mencapai pendapatan yang lebih baik, sesuai dengan kemahiran, pengalaman, dan kepakaran yang dimiliki.

Dengan kerjasama yang semakin erat antara PVTLDM dan TalentCorp, diharapkan lebih banyak veteran TLDM dapat merebut peluang yang terbuka dalam sektor Ekonomi Biru, meningkatkan kebolehpasaran mereka, dan memberi manfaat jangka panjang kepada mereka dan keluarga.