Lawatan ke Pusat Agro Pelancongan Nanas di Pontian

Pontian, 9 Februari 2025 – Sektor pertanian di Negeri Johor memainkan peranan penting dalam ekonomi negeri, menyumbang sebanyak 11.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Johor bukan sahaja terkenal sebagai salah satu pengeluar terbesar pelbagai jenis hasil pertanian, tetapi juga menduduki tempat utama sebagai pengeluar buah nanas di negara ini. Daerah Pontian, terutamanya di kawasan Alor Bukit dan Pekan Nenas, dikenali dengan keluasan ladang nanas yang diusahakan dengan penuh dedikasi oleh para petani tempatan.

Bagi memperkasakan lagi industri buah nanas di negeri ini, Encik Amir yang merupakan ahli PVTLDM Johor telah memulakan inisiatif unik dengan membuka Jerman Pine Cafe, sebuah kafe yang mengangkat buah nanas sebagai simbol utama. Kafe ini dibuka pada 22 November 2024 dan dengan serta-merta menjadi salah satu destinasi pelancongan baru di daerah Pontian, khususnya dalam Parlimen Tanjung Piai. Jerman Pine Cafe bukan sahaja menawarkan pelbagai menu yang berasaskan nanas tetapi juga menjadi tempat di mana pengunjung boleh menikmati pengalaman agro pelancongan dengan melawat ladang nanas yang terletak di belakang kafe.

Satu lawatan telah diadakan ke Jerman Pine Cafe yang melibatkan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, yang turut diiringi oleh YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor. Turut hadir dalam lawatan tersebut adalah EXCO-EXCO Negeri Johor, Pegawai Daerah Pontian, ADUN N.56 Kukup, serta YBhg Tn Hj Md Israk Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai dan Ketua WHIP Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pontian (MPPn).

Lawatan ini memberi peluang kepada pihak kerajaan negeri untuk meninjau sendiri potensi kawasan agro pelancongan yang dibangunkan di sekitar kafe tersebut. YAB Menteri Besar Johor telah diberikan penerangan mengenai pembangunan ladang nanas yang dijadikan sebahagian daripada tarikan pelancong. Disamping menikmati hidangan yang menggunakan bahan utama nanas, para pengunjung juga berpeluang untuk merasai pengalaman memetik buah nanas segar dari ladang.

Pembukaan Jerman Pine Cafe bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan sektor agro pelancongan, tetapi juga membuka peluang pekerjaan dan memberi impak positif kepada ekonomi setempat. Usaha ini seiring dengan visi kerajaan negeri untuk memperkenalkan produk pertanian Johor ke persada dunia sambil menggalakkan sektor pelancongan berkembang seiring dengan pertumbuhan industri pertanian.

Dengan sokongan yang berterusan dari kerajaan negeri, serta kerjasama pelbagai pihak, diharapkan lebih banyak inisiatif serupa akan muncul, sekali gus membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat dan memajukan sektor agro pelancongan di Johor.