Batu Pahat, 21 Januari 2025 – Sebuah program Lawatan Kebajikan Ziarah Kasih telah dianjurkan oleh Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Negeri Johor, bertujuan melawat salah seorang ahli PVTLDM Cawangan Johor yang sedang menghadapi masalah kesihatan. Lawatan ini diketuai oleh Pengerusi Tetap PVTLDM, Encik Abd Ralid bin Jani, bersama Ketua Pengurusan PVTLDM, Encik Abdul Ghani dan Bendahari Veteran TLDM Batu Pahat, Encik Ghazali.
Lawatan ini melibatkan kunjungan ke rumah ahli PVTLDM, JH00907 Encik Md Azali bin Kahar, yang menetap di Kg Dulang, Rengit, Batu Pahat. Beliau sebelum ini dimasukkan ke Hospital Batu Pahat pada 25 Disember 2024 setelah didiagnosis menghidap batu karang di hempedu. Beliau telah dibenarkan keluar dari hospital pada 29 Disember 2024 dan kini sedang menunggu rawatan susulan yang dijadualkan pada 5 Februari 2025. Dalam rawatan susulan tersebut, beliau dijangka menjalani pembedahan bagi membuang batu karang di hempedu.
Program ini bertujuan untuk memberikan sokongan moral kepada ahli yang terjejas serta menunjukkan keprihatinan PVTLDM terhadap kebajikan ahli-ahlinya. Selain itu, ia juga menjadi medium untuk memperkukuhkan hubungan kekeluargaan antara persatuan dan ahli, terutamanya mereka yang memerlukan bantuan dan perhatian.
Di akhir lawatan, Pengerusi Tetap PVTLDM, yang mewakili Yang Dipertua PVTLDM Negeri Johor, telah menyampaikan sedikit sumbangan daripada PVTLDM Negeri Johor kepada Encik Md Azali. Sumbangan ini adalah tanda sokongan dan keprihatinan persatuan terhadap kebajikan dan kesejahteraan ahli.
PVTLDM menyeru seluruh warga persatuan untuk bersama-sama mendoakan kesembuhan segera buat En. Md Azali dan agar segala urusannya dipermudahkan oleh Allah SWT. Program Lawatan Kebajikan Ziarah Kasih ini membuktikan komitmen PVTLDM Johor dalam menjaga kebajikan dan keprihatinan terhadap ahli-ahlinya. Semoga inisiatif sebegini terus diteruskan untuk memberi manfaat kepada semua ahli PVTLDM di seluruh negara.