Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah JHEV ATM Ke Negeri Perak

Ipoh, 10 Februari 2025 – Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke negeri Perak pada Isnin, 10 Februari 2025. Lawatan ini bertujuan untuk memantau operasi JHEV ATM Negeri Perak serta menyantuni warga JHEV ATM Cawangan Negeri Perak dalam usaha mengenal pasti dan menyelesaikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh kakitangan di peringkat negeri.

Antara cabaran yang dibincangkan termasuk kekangan sumber, isu logistik, dan masalah tadbir urus yang memerlukan perhatian segera. Semua ini adalah bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada para veteran ATM dapat dipertingkatkan lagi. Lawatan ini juga menjadi platform untuk Ketua Pengarah JHEV ATM mendengar pandangan dan cadangan daripada pihak pengurusan serta kakitangan di negeri Perak.

Selain itu, satu sesi taklimat mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) telah disampaikan oleh Leftenan Kolonel Salim bin Ibrahim, Pemangku Pengarah Bahagian Pencen JHEV ATM. Taklimat mengenai sistem VIBES 2.0 juga telah diadakan, yang disampaikan oleh Puan Siti Nur Rafida binti Md Ramzan, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat JHEV ATM. Kedua-dua sesi ini bertujuan untuk memberi pencerahan kepada warga JHEV ATM Negeri Perak mengenai perkembangan dan penambahbaikan dalam sistem yang digunapakai untuk kebajikan para veteran.

Pada sebelah petang, program Sembang Santai Ketua Pengarah JHEV ATM telah diadakan bersama 82 orang veteran ATM yang terdiri daripada Yang di-Pertua, Presiden, Pengerusi dan wakil-wakil dari 34 persatuan serta Kelab Veteran ATM Negeri Perak. Program ini memberi ruang kepada para veteran untuk berbincang dan berkongsi pandangan mengenai isu-isu kebajikan mereka. Ia juga menjadi platform yang penting bagi pihak JHEV ATM untuk mendengar terus dari veteran mengenai keperluan dan kebajikan mereka.

Lawatan kerja ini berakhir dengan program penyampaian Ganjaran Hilang Upaya (GHU) kepada 15 penerima serta penyerahan tiga buah komputer riba sumbangan dari Yayasan Veteran ATM kepada anak-anak veteran ATM dalam kategori asnaf. Penyerahan ini merupakan salah satu inisiatif untuk terus memperkukuh hubungan antara JHEV ATM dengan komuniti veteran dan memastikan kebajikan mereka terus terbela.

Turut hadir dalam program ini adalah Lt Kol Azwadi bin Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM dan Pengarah JHEV ATM Negeri Perak, Mejar Noor Yahya bin Sulaiman.