Kuala Lumpur, 20 Januari 2025 – Presiden Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) telah memenuhi jemputan untuk menghadiri Majlis Hi-Tea bersama YB Menteri Pertahanan di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Majlis tersebut dimeriahkan dengan pengisian tiga program utama yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama antara pelbagai pihak dalam menyokong kebajikan veteran dan meningkatkan peluang ekonomi mereka.
Antara acara penting dalam majlis tersebut adalah penandatanganan nota kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), PERNAS, dan Agrobank. Kerjasama ini bertujuan untuk memberikan sokongan dan peluang kepada veteran dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk perumahan, perniagaan, dan kewangan.
Selain itu, turut diadakan penyampaian sumbangan cek mock-up bagi Kempen Tabung Pahlawan (KTP) yang bertujuan untuk mengumpulkan dana bagi menyokong kebajikan veteran yang memerlukan. Program ini juga menyaksikan penyampaian sumbangan kepada veteran yang cedera, sebagai penghargaan atas pengorbanan mereka dalam perkhidmatan.
Dalam majlis tersebut, Presiden PVTLDM berkesempatan bertemu Dato’ Paduka Syed Mashafuddin, CEO Affin Islamic Bank Bhd, yang berhasrat untuk mengadakan kolaborasi dengan PVTLDM. Kolaborasi ini akan memfokuskan kepada tawaran produk kewangan yang sesuai untuk usahawan veteran TLDM. Tindakan susulan akan dilaksanakan bersama pasukan Dato’ Paduka untuk mengkaji lebih lanjut potensi kerjasama ini.
Selain itu, Presiden PVTLDM turut berjumpa dengan Kdr Ang Chin Hup TLDM (Bersara) setelah hampir 11 tahun tidak berjumpa. Kdr Ang kini berkhidmat sebagai National Consultant untuk United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP). Beliau turut menyatakan minat untuk melibatkan veteran TLDM dalam Ekonomi Biru dan berharap perbincangan mengenai peranan veteran dalam sektor ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
Majlis ini juga memberikan peluang kepada Presiden PVTLDM untuk bertemu dan mengeratkan hubungan dengan Presiden dan wakil-wakil persatuan veteran ATM yang lain. Mereka turut mengakui hala tuju baru PVTLDM yang lebih dinamik dan realistik, serta menunjukkan minat untuk bekerjasama terutama dalam inisiatif Kerjaya Kedua dan Keusahawanan bagi membantu veteran TLDM mencapai kehidupan yang lebih baik.
Dengan kerjasama ini, diharapkan lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan untuk veteran TLDM, terutamanya dalam sektor Ekonomi Biru, dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam dunia pekerjaan.