Mesyuarat AJK PVTLDM Cawangan Johor Bil 4 Sesi 2024-2027

Bandar Dato Onn, 18 Januari 2025 – Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Negeri Johor Bil. 4 bagi Sesi 2024-2027 telah diadakan di Event Hall, Kopitiam 1976, Bandar Dato Onn, Johor Bahru. Mesyuarat ini dihadiri oleh 20 orang AJK PVTLDM Negeri Johor, diketuai oleh Yang Dipertua PVTLDM Negeri Johor, Tuan Haji Hanafiah bin Jaffar, bersama dengan 6 Ketua Pengurusan (KP) Veteran TLDM Daerah yang mewakili daerah-daerah utama di Johor, termasuk Muar, Tangkak, Batu Pahat, Pontian, Segamat, dan Kluang.

Mesyuarat bermula pada jam 9.05 pagi dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Timbalan Yang Dipertua PVTLDM Negeri Johor, En. Mohd Ruzik bin Hj. Mahmood. Ucapan aluan dari Tuan Haji Hanafiah memberi penekanan terhadap pentingnya mesyuarat ini untuk merancang aktiviti dan perancangan kewangan bagi tahun 2025 serta menyelesaikan beberapa perkara berbangkit yang melibatkan kebajikan dan pengurusan veteran.

Beberapa agenda penting telah dibincangkan sepanjang mesyuarat. Antaranya termasuklah pengesahan minit mesyuarat sebelumnya, iaitu Minit Mesyuarat AJK PVTLDM Negeri Johor Bil. 3 yang diadakan pada 15 Disember 2024. Laporan kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 turut dibentangkan dan telah diluluskan dengan sebulat suara oleh semua ahli mesyuarat yang hadir. Selain itu, laporan daripada Ketua Pengurusan Veteran TLDM Daerah-daerah mengenai keahlian, kebajikan veteran yang sakit, serta perancangan program daerah bagi tahun 2025 juga dibentangkan.

Perancangan aktiviti utama yang dibincangkan termasuk Mesyuarat Agung Tahunan PVTLDM Negeri Johor Kali Ke-13 yang dijadualkan pada 22 Februari 2025. Program Majlis Jalinan Ukhuwah Aidilfitri PVTLDM Negeri Johor pula akan berlangsung pada 12 April 2025. Kedua-dua program ini diharapkan dapat mempereratkan hubungan antara veteran serta memberi peluang kepada mereka untuk berkumpul dan berbincang tentang perkembangan terkini dalam organisasi.

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan inisiatif berkaitan dengan pengurusan 3K, iaitu Kebajikan, Kerjaya, dan Keusahawanan. Di bawah kebajikan, pengurusan PVTLDM Negeri Johor merancang untuk mengadakan lawatan berkala kepada veteran yang uzur dan memerlukan sokongan. Dalam bidang kerjaya, mereka berusaha untuk menyediakan peluang pekerjaan bagi anak-anak veteran, manakala dalam keusahawanan, usaha akan dilakukan untuk membantu usahawan veteran mendapatkan sokongan dan geran daripada pihak yang berkaitan.

Sebagai penutup, Tuan Haji Hanafiah mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam mesyuarat ini kerana ia berjaya dijalankan dengan baik dan harmoni. Sebelum bersurai, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada seorang veteran yang terlibat dalam musibah ribut dan menyerahkan sumbangan kepada Bendahari PVTLDM Negeri Johor, Mr. Lau Heng, yang akan menyambut Tahun Baru Cina.