JOHOR BAHRU, 18 Mei 2025 – Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Negeri Johor Kali Ke-5 bagi sesi 2024-2027 telah berjaya diadakan di Kebun TC, Kampung Tawakal, Johor Bahru. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Yang Dipertua PVTLDM Negeri Johor, Leftenan Komander Haji Hanafiah bin Jaffar TLDM (Bersara).
Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Dipertua, diikuti oleh pengesahan dan kelulusan minit mesyuarat Bil. 4 yang telah berlangsung pada 20 Januari 2025.
Satu agenda penting yang dibincangkan ialah pembentangan dan kelulusan penyata kewangan PVTLDM Johor bagi tempoh berakhir 31 Mac 2025 melibatkan akaun Maybank dan Agro Bank. Penyata ini merangkumi kelulusan kewangan yang telah digunakan bagi penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Iftar Ramadan, Ziarah Ramadan dan Jamuan Aidilfitri 2025.
Mesyuarat turut menyemak perkara-perkara berbangkit daripada mesyuarat terdahulu, serta laporan keahlian semasa PVTLDM Johor sehingga tarikh mesyuarat yang menunjukkan pertambahan keahlian.
Turut diketengahkan ialah perancangan Program HELWA yang akan berlangsung pada 25 Mei 2025 bertempat di Kebun TC yang merangkumi cadangan kelas pengajian agama dan sesi ramah mesra. Selain itu, turut dirancang adalah Program Bacaan Yassin, Tahlil dan Tazkirah pada 9 Jun 2025 di Dewan Samudera Kebun TC dan Program Mini Town Hall HELWA pada 29 Jun 2025 di Selasih Persada, dengan anggaran kehadiran seramai 40 ahli HELWA dan kos sebanyak RM1,500.00.
Perancangan Program Ibadah Qurban PVTLDM Negeri Johor Kali Ke-4 Tahun 2025 turut dimasukkan dalam agenda utama.
Bagi memperkemas pengurusan, mesyuarat turut meluluskan pelantikan jawatankuasa kecil bagi penyediaan prosedur pengurusan Tabung Pembangunan PVTLDM Johor. Selain itu, turut diumumkan adalah penstrukturan semula Biro Pendaftaran Keahlian dengan pelantikan biro yang baharu serta penstrukturan Biro Penerangan yang kini turut merangkumi pembangunan media sosial seperti Facebook dan TikTok.
Akhir sekali, mesyuarat membincangkan hal-hal lain termasuk penubuhan AJK Kecil untuk menyemak perlembagaan PVTLDM bagi memastikan ianya kekal relevan dengan keperluan semasa ahli.