KUANTAN, 17 Mei 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Negeri Pahang telah berjaya diadakan dengan lancar pada jam 1500H hingga 1730H bertempat di Bilik Mesyuarat Bekas SKTLDM Padang Hangus, Kuantan. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Yang Dipertua PVTLDM Negeri Pahang, Tuan Haji Awai bin Mohamad, dan berlangsung dalam suasana penuh semangat serta kesepakatan.
Dalam mesyuarat ini, beberapa keputusan penting telah dibuat secara sebulat suara, termasuk penetapan tarikh bagi Mesyuarat Agung Tahunan PVTLDM Negeri Pahang ke-17, yang dijadualkan berlangsung pada 18 atau 19 Julai 2025, dengan lokasi akan dimaklumkan kelak. Menariknya, satu sesi Town Hall atau Bicara Santai bersama Presiden PVTLDM Negara turut dirancang pada 18 Julai 2025 jam 2000H, yang dijangka menjadi platform perkongsian yang berimpak tinggi.
Selain itu, PVTLDM Negeri Pahang juga akan turut serta dalam Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang kali ke-68 pada 31 Ogos 2025 di Kuantan. Penyertaan ini membuktikan komitmen veteran TLDM dalam terus menjunjung semangat patriotisme.
Mesyuarat turut menekankan inisiatif menyantuni veteran TLDM yang sedang uzur atau mengalami kesulitan, tanpa mengira status keahlian mereka dalam PVTLDM. Pendekatan ini selaras dengan prinsip kebajikan dalam Inisiatif 3K PVTLDM – Kebajikan, Kerjaya, dan Keusahawanan.
Dalam aspek hubungan komuniti, PVTLDM Negeri Pahang akan menyertai acara sukan ‘Mudik ke Hulu Sungai Pahang’ bersama Paduka Al-Sultan dan Tengku Mahkota Pahang, serta menyampaikan taklimat pengalaman hidup kepada Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM-Laut) di PSSTLDM Kuantan pada 2 September 2025.
Beberapa siri kunjungan hormat turut dirancang ke atas Menteri Besar Pahang, Menteri Pertahanan, Panglima Tentera Laut, dan Panglima Wilayah Laut 1 bagi memperkukuh hubungan strategik dan memperjuangkan hak serta kebajikan veteran.
Dalam usaha menyantuni ahli yang memerlukan, PVTLDM Negeri Pahang telah menyampaikan sumbangan kewangan kepada 16 ahli seumur hidup dan bersekutu yang terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan mereka yang menghidap penyakit kronik. Sumbangan tersebut disampaikan menerusi wakil Biro Daerah.
PVTLDM Negeri Pahang terus membuktikan kesungguhan dalam memperkasakan komuniti veteran TLDM melalui tindakan inklusif dan berstrategi demi masa depan yang lebih cerah buat semua.