Selayang, 22 Februari 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKKT) Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Siri 2 Sesi 2024-2027 telah berjaya dilaksanakan di KIP Hotel, Kuala Lumpur. Dalam mesyuarat kali ini, satu sejarah baru tercatat apabila delegasi PVTLDM buat pertama kalinya memakai pakaian korporat baru yang akan digunapakai oleh semua warga PVTLDM di seluruh negara. Pakaian ini menjadi simbol rasmi identiti PVTLDM yang semakin kukuh dan dikenali.
Mesyuarat tersebut berjalan dengan lancar dan harmoni, di mana pelbagai keputusan penting telah dicapai dengan kepentingan ahli di seluruh negara sebagai keutamaan. Salah satu pencapaian penting ialah PVTLDM kini menjadi Persatuan Veteran kedua terbesar selepas Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM). Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat antara semua cawangan yang mendokong aspirasi inisiatif 3K PVTLDM yang merangkumi Kebajikan, Kerjaya, dan Keusahawanan.
Selain itu, jenama PVTLDM semakin dikenali di kalangan veteran TLDM, dengan lebih ramai veteran yang mula mendaftar sebagai ahli baru. Ini menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dijalankan oleh PVTLDM semakin memberi impak positif dan semakin ramai veteran yang ingin menjadi sebahagian daripada persatuan ini.
Mesyuarat JKKT ini juga telah menetapkan pelbagai keputusan strategik yang akan membantu memperkukuhkan kedudukan PVTLDM, memajukan kebajikan serta meningkatkan peluang keusahawanan untuk para veteran TLDM. Usaha ini akan memastikan bahawa PVTLDM terus menjadi suara penting bagi veteran TLDM dan memberi impak positif kepada kesejahteraan mereka.
Dengan kerjasama yang padu antara cawangan, PVTLDM kini berada di landasan terbaik untuk mencapai aspirasi dan objektifnya. Di masa depan, lebih banyak kejayaan dan pencapaian akan terus diraih untuk manfaat seluruh ahli persatuan.