Perbincangan Bersama MBIP Untuk Penganjuran Acara Antarabangsa

Iskandar Puteri, 17 Mac 2025 – PVTLDM telah mengadakan lawatan kerja ke Johor bagi membincangkan penganjuran aktiviti peringkat antarabangsa yang bertujuan meningkatkan dana persatuan. Perbincangan bersama pihak pengurusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) ini turut disertai oleh pucuk pimpinan PVTLDM Cawangan Johor, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini.

Johor dipilih sebagai lokasi utama bagi acara ini kerana faktor ekosistem yang lengkap dan sokongan kuat daripada kerajaan negeri Johor terhadap PVTLDM Cawangan Johor. Keberadaan Markas Simpanan TLDM di Pangkalan TLDM Johor Bahru juga menjadi pemangkin utama, seperti mana penglibatan aktif Pasukan Simpanan TLDM dalam Ekspo Usahawan Veteran TLDM di Cyberjaya sebelum ini. Infrastruktur dan kemudahan yang tersedia di Johor memberi kelebihan dalam menjayakan acara ini di peringkat antarabangsa.

PVTLDM Cawangan Johor merupakan antara cawangan yang paling kukuh dari segi keanggotaan, dana persatuan serta jaringan strategik dengan masyarakat setempat. Dengan asas yang kukuh ini, mereka bersedia memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan kejayaan acara yang bakal dianjurkan. Kedudukan strategik Johor dan sokongan kuat dari pelbagai pihak menjadikannya lokasi terbaik bagi acara ini.

Dalam sesi perbincangan, MBIP menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ini dan menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan PVTLDM. Selain itu, MBIP turut berkongsi maklumat mengenai rakan-rakan penaja di sekitar Iskandar Puteri yang berpotensi untuk turut serta dalam menjayakan acara ini.

Sebagai langkah persediaan lanjut, lawatan tapak telah dilakukan ke beberapa lokasi berpotensi seperti Educity dan Sunway Big Box bagi memperincikan kaedah pelaksanaan acara. Lawatan ini membantu dalam menilai aspek logistik, kemudahan serta keperluan teknikal yang diperlukan untuk memastikan kelancaran acara.

Keseluruhan hasil perbincangan dan lawatan ini akan dikemukakan kepada Datuk Bandar Iskandar Puteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan kelulusan serta tindakan lanjut dalam merealisasikan penganjuran acara antarabangsa ini.