Perbincangan Ketiga antara PVTLDM dan TalentCorp

Mutiara Damansara, 3 Februari 25 – Persatuan Veteran Tentera Laut DiRaja Malaysia (PVTLDM) telah mengadakan perbincangan ketiga bersama TalentCorp di Ibu Pejabat TalentCorp, Menara Surian, Mutiara Damansara. Perbincangan ini diketuai oleh Mr. Brian Chong, Ketua Sektor Logistik, Pembinaan, Automotif, Perusahaan Kecil Sederhana, Antara Agensi & Dewan, Perkongsian Industri TalentCorp dan Puan Nadiah Zakie, Ketua Pusat Kecemerlangan TalentCorp. Kehadiran pihak PVTLDM yang diketuai oleh Presiden PVTLDM, Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara), membincangkan inisiatif untuk memadankan veteran TLDM dengan peluang pekerjaan yang sesuai melalui kerjasama strategik ini.

Perbincangan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan bahawa Program Transisi Kerjaya PVTLDM dapat dijajarkan dengan rangka kerja MyWira TalentCorp. Walaupun MyWira telah memfokuskan kepada pelbagai sektor, masih terdapat kekosongan yang perlu diisi, khususnya dalam sektor Ekonomi Biru yang melibatkan industri perkapalan, limbungan kapal, pelabuhan, dan minyak serta gas. TalentCorp memahami keperluan untuk memperkasa veteran tentera laut, dan mereka bersedia untuk memudahkan proses pemadanan pekerjaan dengan mengoptimumkan rangkaian luas mereka serta hubungan industri yang kuat.

Salah satu kelebihan yang dimiliki oleh veteran TLDM adalah kemampuan mereka dalam mematuhi dan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat. Dalam perbincangan ini, PVTLDM turut mencadangkan beberapa alternatif pekerjaan yang sesuai dengan pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh veteran, antaranya sebagai juruaudit, seperti Juruaudit Halal, Juruaudit ISO, Pegawai Integriti dan Pematuhan, serta Pakar Tadbir Urus Korporat. Semua bidang ini juga terdapat dalam struktur TalentCorp dan memberi peluang kepada veteran untuk menyumbang dalam sektor-sektor yang memerlukan kepakaran dalam penguatkuasaan serta pematuhan standard.

TalentCorp telah menunjukkan komitmen penuh dalam menjayakan kerjasama ini dan bersetuju untuk melaksanakan satu projek rintis dalam masa terdekat. Projek ini akan menjadi langkah permulaan untuk memperluas peluang kerjaya bagi veteran TLDM, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada veteran itu sendiri tetapi juga kepada industri-industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdisiplin.

Pihak PVTLDM amat menghargai kesediaan TalentCorp untuk bekerjasama dalam usaha memajukan kebolehpasaran veteran TLDM. Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan memberikan lebih banyak peluang pekerjaan yang sesuai dengan veteran kami, seterusnya membantu mereka dalam memasuki dunia pekerjaan pasca perkhidmatan.