KUALA LUMPUR, 23 Mei 2025 – Presiden Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM), Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara) telah berkunjung ke syarikat LERUS, sebuah pusat latihan profesional maritim yang beroperasi di Boulevard Office, Mid Valley.
LERUS merupakan satu-satunya pusat latihan di Malaysia yang menawarkan kursus Dynamic Positioning (DP), iaitu kemahiran kritikal dalam sektor perkapalan serta industri minyak dan gas. Selain itu, LERUS turut menawarkan pelbagai kursus lain yang diiktiraf oleh badan antarabangsa, Offshore Petroleum Industry Training Organisation (OPITO).
Menariknya, LERUS diuruskan oleh Lt Mahayudin bin Rosli TLDM (Bersara), seorang veteran TLDM yang kini aktif memperkasakan latihan profesional maritim. Di bawah kepimpinannya, LERUS telah berjaya mengembangkan operasi ke peringkat antarabangsa termasuk Indonesia dan Vietnam, menjadikannya antara pemain utama dalam bidang latihan maritim serantau.
Presiden PVTLDM dimaklumkan bahawa ramai Veteran TLDM telah menjalani latihan di LERUS sebagai langkah membina kerjaya kedua dalam bidang Ekonomi Biru, selari dengan aspirasi PVTLDM untuk menyediakan platform kerjaya baharu yang stabil dan berpotensi tinggi kepada warganya.
Lt Mahayudin yang juga merupakan ahli PVTLDM menyatakan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama bersama PVTLDM setelah melihat kesungguhan persatuan itu dalam membantu veteran menjana masa depan yang lebih baik.
Kdr Khairil Hariss menyeru agar lebih ramai veteran tampil ke hadapan untuk berkongsi kepakaran dan membuka ruang kerjasama strategik, sekaligus menyumbang ke arah pembangunan negara melalui pengalaman dan kemahiran yang mereka miliki.