Program CONNECTD-Lite di Rekascape, Cyberjaya

Cyberjaya, 26 Februari 2025 – Pihak BusinessSynergy di bawah teraju Tuan Aiman Hakim telah sudi menjemput Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) untuk menyertai program CONNECTD-Lite yang diadakan di Rekascape, Cyberjaya. Program ini memberi tumpuan kepada ‘mastering the art of winning pitch’, yang memfokuskan kepada teknik dan strategi dalam mendapatkan pelabur serta dana melalui sesi pitching yang berkesan.

Dalam program tersebut, dua orang pakar berpengalaman dalam bidang keusahawanan telah berkongsi pengetahuan dan bimbingan yang sangat berguna. Mereka adalah Tuan Khairul Anwar, Pengasas & CEO PANDAI, dan Tuan Akram Afifi, Pengasas & CEO MengajiOnline.com. Kedua-dua pakar ini membincangkan pelbagai teknik yang boleh digunakan untuk memperbaiki kemahiran pitching serta memberi panduan dalam meraih perhatian pelabur.

Antara topik yang dibincangkan ialah kaedah mendapatkan dana daripada pelbagai geran yang tersedia, termasuk geran dari agensi tempatan serta peluang yang merentasi peringkat global. Panduan dan tip yang dikongsikan sangat menarik dan membuka pemahaman baru, terutamanya bagi para veteran TLDM yang terlibat dalam dunia keusahawanan. Dengan bimbingan ini, para peserta kini lebih berkeyakinan dalam menjual idea dan perniagaan mereka kepada pihak pelabur.

Program sebegini memberi impak yang besar kepada usaha inisiatif 3K PVTLDM, yang bertujuan untuk memperkasakan kebajikan, kerjaya, dan keusahawanan veteran TLDM. Dengan pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh, diharapkan para veteran TLDM dapat mengembangkan perniagaan mereka, menarik pelaburan, serta memanfaatkan peluang yang ada dalam dunia perniagaan.

Semoga program-program seperti ini terus memperkasakan aspek keusahawanan veteran TLDM dan membuka lebih banyak peluang bagi mereka untuk berjaya dalam dunia perniagaan.