LUMUT, 15 Mei 2025 – Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) terus komited memperkasa warga veteran melalui penganjuran Program Keusahawanan ‘Grow Biz with Data & Tender’ yang telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Peperangan & Doktrin TLDM (PUSPED), Pangkalan TLDM Lumut.
Program yang pertama kali dilaksanakan ini berjaya menghimpunkan seramai 38 peserta, terdiri daripada veteran TLDM dari pelbagai negeri termasuk Johor, Perlis dan Labuan. Kehadiran mereka membuktikan minat dan kesungguhan tinggi golongan veteran untuk menjadikan keusahawanan sebagai landasan kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan.
‘Grow Biz with Data & Tender’ direka sebagai program berfokus yang menggabungkan penggunaan data, peluang akses kepada tender kerajaan, serta bimbingan teknikal secara langsung. Antara pengisian utama termasuklah sesi bersama empat vendor strategik iaitu Big Data Work, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ePerolehan, serta syarikat keusahawanan JW Empire. Taklimat yang diberikan membantu peserta memahami keperluan asas membina perniagaan berdaya saing dalam ekosistem digital dan perolehan semasa.
Lebih istimewa, semua peserta akan melalui program bimbingan khas selama enam bulan (hand holding program) bagi memastikan setiap individu dibantu secara intensif dari segi pembangunan model perniagaan, akses pembiayaan, dan pelaksanaan projek. Ini selaras dengan matlamat PVTLDM di bawah Inisiatif 3K yang menekankan aspek Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan sebagai teras kebangkitan semula warga veteran.
Kejayaan program ini turut disokong erat oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), khususnya Panglima Latihan dan Doktrin TLDM serta Ketua Pengarah PUSPED, yang membuka ruang kerjasama erat antara TLDM dan PVTLDM dalam memperkukuh kerjaya kedua para veteran.
Presiden PVTLDM menyatakan rasa syukur dan penghargaan atas kejayaan program ini. “Kita bangga dengan komitmen para peserta, termasuk yang sanggup datang dari jauh. Ini membuktikan bahawa dengan sokongan yang betul dan platform yang sesuai, veteran mampu melonjak sebagai usahawan berjaya. Yang penting, terus berjuang,” ujar beliau.
Program ini diharapkan menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif keusahawanan berskala besar oleh PVTLDM, sekaligus mengangkat potensi veteran TLDM sebagai penyumbang aktif kepada ekonomi negara.