Program Majlis Tahlil dan Doa Selamat Sempena Kedatangan Bulan Ramadhan

Senawang, 11 Februari 2025 – Persatuan Veteran Tentera Laut DiRaja Malaysia (PVTLDM) Negeri Sembilan telah melaksanakan Program Majlis Tahlil dan Doa Selamat sempena kedatangan bulan Ramadhan di Surau Taman Alamanda, Senawang pada jam 10.30 pagi. Majlis ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah serta mempertingkatkan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli PVTLDM Negeri Sembilan, di samping meraih keberkatan menjelang bulan suci Ramadhan yang mulia.

Program ini dipimpin oleh Pengerusi Surau Taman Alamanda, Ustaz Khairuzaman bin Mohd Yusof. Dalam majlis tersebut, para jemaah yang terdiri daripada ahli PV TLDM Negeri Sembilan serta warga setempat bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keberkatan bagi seluruh umat Islam menjelang bulan Ramadhan. Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YB Dato’ M K Ibrahim bin Abd Rahman, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, yang turut hadir sebagai tetamu kehormat.

Kehadiran YB Dato’ M K Ibrahim bin Abd Rahman memberikan makna yang mendalam dalam usaha mempereratkan hubungan antara pihak kerajaan negeri Sembilan dan Persatuan Veteran TLDM. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan sokongan penuh terhadap program-program yang dilaksanakan oleh PVTLDM dan berharap hubungan yang telah terjalin selama ini dapat diteruskan demi kebaikan bersama. Selain itu, beliau juga menggalakkan semua pihak untuk terus bekerjasama dalam membina masyarakat yang lebih kuat dan bersatu.

Majlis ini memberikan kesempatan kepada ahli-ahli PVTLDM Negeri Sembilan untuk berinteraksi dengan pemimpin kerajaan negeri serta membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan veteran. Perbincangan ini mencerminkan keharmonian serta semangat kerjasama antara sektor kerajaan dan masyarakat, khususnya dalam kalangan veteran ATM.

Selain daripada tahlil dan doa selamat, majlis ini juga menjadi satu platform untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga PVTLDM Negeri Sembilan dan masyarakat setempat. Program seperti ini diharap dapat diteruskan dan menjadi contoh teladan dalam membina perpaduan dan semangat kekeluargaan di kalangan ahli persatuan serta komuniti di Negeri Sembilan.

Dengan adanya hubungan yang baik antara Pejabat Speaker, Pusat Khidmat Penyelaras Dun Paroi, dan Persatuan Veteran TLDM, diharap usaha-usaha murni seperti ini dapat diteruskan bagi memperkukuhkan lagi ikatan yang telah terjalin demi kebajikan veteran serta masyarakat secara keseluruhan.