Program MaulidurRasul Anjuran Bersama Penduduk Taman Rinting Pasir Gudang dan PVTLDM Johor

Pasir Gudang, 13 Dis 2024 – Muafakat Dalam Keberkatan, Alhamdulillah Malam tadi, (bermula jam 7.20 malam) Dewan Komuniti Gelam, Taman Rinting telah dipenuhi dengan kehadiran para jemaah bagi memperingati Maulidur Rasul dalam sebuah acara yang sungguh bersejarah dan penuh barakah dengan dihadiri hampir 500 orang penduduk Taman Rinting dan Warga Veteran TLDM Negeri Johor. Majlis Selawat ini adalah hasil kerjasama yang erat antara KRT Gelam, KRT Balau, JKPZ Rinting 1, Muslimah Gelam, komuniti Kampung Sungai Rinting C dan Ahli Jawatankuasa PVTLDM Johor. Kehadiran warga kampung, Taman Rinting, Veteran TLDM dan sokongan daripada setiap komuniti telah membawa sinar keceriaan dan persaudaraan yang lebih erat dalam kalangan penduduk dan sesama Islam.

Kehormatan malam ini semakin bertambah dengan kehadiran Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang iaitu Dato Seri Mohamed Khaled bin Nordin merangkap Menteri Pertahanan Malaysia yang baru pulang daripada tugasan di Australia dan Kadi Daerah Johor Bahru iaitu As Syeikh Tn Hj Zaini bin Mohd Salleh serta Yang dipertua Persatuan Veteran TLDM Negeri Johor (Tn Hj. Hanafiah bin Jaffar) serta barisan AJK PVTLDM Johor.

Ucapan dan ceramah yang disampaikan telah memberi inspirasi dan membakar semangat kebersamaan dalam memperkukuhkan Ukhuwah di kalangan penduduk Pasir Gudang dan para veteran. Ini adalah contoh terbaik bagaimana acara-acara seperti ini dapat menjadi platform bagi kita untuk berganding bahu memperkuatkan tali persaudaraan agar jati diri ummah terus subur di bumi Pasir Gudang khasnya dan Negeri Johor amnya.

Terima kasih kepada semua yang telah hadir dan turut serta dalam menjayakan majlis yang penuh barakah ini.

Sumber berita dari Tuan Abd Ralid bin Jani, Pengerusi Tetap PVTLDM