LUMUT, 14 Mei 2025 – Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) telah mengadakan satu kunjungan hormat ke Pejabat Panglima Latihan dan Doktrin TLDM dalam usaha memperkukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua pihak serta membincangkan pelbagai inisiatif demi kebajikan dan masa depan warga Veteran TLDM.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh keprihatinan ini memberi ruang kepada PVTLDM untuk berkongsi pelbagai usaha yang sedang digerakkan melalui Inisiatif 3K PVTLDM yang menumpukan kepada Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan. Delegasi PVTLDM turut berpeluang mendapatkan pandangan serta sokongan daripada pihak Panglima Latihan & Doktrin TLDM bagi memperkukuh agenda pembangunan veteran TLDM.
Antara agenda utama yang diketengahkan ialah Program Keusahawanan Grow Biz, iaitu sebuah inisiatif yang sedang dilaksanakan khusus untuk membimbing 50 veteran TLDM pertama secara hand holding dalam membina perniagaan masing-masing. Program ini dirangka untuk membekalkan pengetahuan, sokongan kewangan asas serta bimbingan teknikal bagi membantu peserta berjaya dalam dunia keusahawanan pasca perkhidmatan.
Turut dibincangkan ialah isu Kerjaya Kedua, terutamanya peluang dalam sektor Ekonomi Biru yang kini menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran dan pengalaman veteran TLDM. Namun begitu, cabaran utama yang dikenal pasti adalah keperluan pengiktirafan sijil industri sebagai prasyarat kemasukan ke sektor tersebut. Sehubungan itu, PVTLDM kini sedang giat berusaha untuk melaksanakan Fast Track Program bersama Jabatan Laut Malaysia agar proses pengiktirafan ini dapat dipercepatkan sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada para veteran.
Komitmen yang ditunjukkan oleh Panglima Latihan & Doktrin TLDM dalam menyokong usaha PVTLDM amat dihargai. Beliau menyuarakan pandangan yang ikhlas dan menyeluruh, menjadikan sesi perbincangan selama hampir satu setengah jam itu penuh bermakna dan konstruktif. Kesediaan beliau untuk mendengar dan berkongsi pandangan dilihat sebagai manifestasi keprihatinan TLDM terhadap kesejahteraan warganya yang telah bersara.
PVTLDM percaya bahawa hubungan erat dengan pihak latihan TLDM adalah langkah strategik untuk mewujudkan ekosistem sokongan veteran yang menyeluruh. Semoga kerjasama ‘Kembali ke Pangkalan’ ini menjadi titik tolak kepada pencapaian lebih besar demi memperkasa warga Perwira Laut pasca perkhidmatan.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif PVTLDM, sila layari https://pvtldm.org.