Sambutan Hari Raya Aidilfitri PVTLDM & RMNOA

Kuala Lumpur, 20 April 2025 – Persatuan Veteran Tentera Laut DiRaja Malaysia (PVTLDM) dengan kerjasama Retired Malaysian Naval Officers Association (RMNOA) telah menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 buat julung kalinya yang dibuka kepada semua veteran Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), tanpa mengira keahlian dalam persatuan. Program ini telah berlangsung dengan penuh kemeriahan di lokasi bersejarah TLDM, iaitu KD Sri Gombak, Kuala Lumpur, dan dikuasakan sepenuhnya oleh PVTLDM Cawangan Kuala Lumpur.

Sambutan yang pertama kali menyatukan semua veteran TLDM dari pelbagai generasi dan latar belakang ini telah menerima kehadiran luar biasa, termasuk veteran dari negeri-negeri jauh seperti Labuan, Perak, Pahang dan Melaka. Ramai hadir seawal pagi demi memeriahkan majlis yang cukup bermakna ini, membuktikan semangat kental warga veteran TLDM untuk terus berhubung dan berbakti dalam satu komuniti yang utuh.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran kenamaan-kenamaan penting dalam komuniti veteran dan ketenteraan negara. Antara yang hadir ialah Presiden RMNOA merangkap Mantan Panglima Tentera Laut, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM), Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM HQ), serta Asisten Ketua Staf JUTRA dari Markas Tentera Laut. Sokongan daripada pemimpin-pemimpin ini mencerminkan pengiktirafan terhadap usaha murni PVTLDM dalam memperkukuh perpaduan dan kebajikan warga veteran laut negara.

Majlis turut mendapat sokongan padu daripada Yang Dipertua PVTLDM cawangan-cawangan termasuk Pahang, Labuan, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Putrajaya yang hadir memberikan dokongan moral dan semangat kepada penganjur serta ahli-ahli.

Satu lagi nilai tambah majlis kali ini ialah penglibatan vendor dan penyedia perkhidmatan yang kesemuanya terdiri daripada usahawan dalam kalangan veteran TLDM sendiri. Usaha ini selaras dengan matlamat PVTLDM untuk mengangkat potensi dan memperkasakan ekonomi ahli-ahlinya, khususnya yang menceburi bidang keusahawanan selepas bersara.

Presiden PVTLDM dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya kepada pihak Tentera Laut DiRaja Malaysia yang telah membenarkan penggunaan KD SRI GOMBAK sebagai venue utama sambutan. Beliau turut memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran program ini dan berharap agar sambutan pada tahun akan datang akan dapat diadakan dengan lebih meriah, tersusun dan inklusif.

Akhir kata, ribuan terima kasih diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus menjayakan sambutan ini dengan cemerlang. Kejayaan program ini membuktikan bahawa dengan semangat kerja berpasukan dan keikhlasan dalam perjuangan, apa sahaja mampu dilaksanakan – Together We Can.