Kuala Perlis, 29 Disember 2024 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Perlis dan Kedah telah berjaya menganjurkan program Sembang Santai bersama Presiden PVTLDM, Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara), bertempat di Restoran Rohani Ikan Bakar, Kuala Perlis. Program ini bertujuan untuk menyantuni veteran TLDM di utara Semenanjung Malaysia serta mendengar secara langsung permasalahan dan cadangan daripada mereka.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerja PVTLDM Malaysia, Leftenan Komander Muhamad Fahmi bin Hassan TLDM (Bersara), bersama veteran TLDM dari negeri Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang. Program ini menekankan kepentingan kerjasama antara PVTLDM dan ahlinya dalam memastikan kebajikan dan pembangunan karier veteran terus terjamin.
Dalam ucapan ringkasnya, Presiden PVTLDM berkongsi halatuju persatuan yang merangkumi pelaksanaan program keusahawanan dan kerjaya sebagai persediaan sebelum persaraan. Beliau juga menekankan pentingnya memanfaatkan program sebegini untuk memperkukuh hubungan antara persatuan dan para veteran. Selain itu, beliau menyampaikan perkembangan terkini mengenai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh PVTLDM untuk memberi manfaat kepada semua ahlinya.
Program di Kuala Perlis ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah turun padang yang dimulakan sejak Ogos 2024. Ia adalah sesi ketujuh dan kelapan yang melibatkan cawangan negeri, selepas Johor, Labuan, Sarawak, Selangor, Terengganu, dan Pulau Pinang. Gabungan PVTLDM Cawangan Perlis dan Kedah dalam satu sesi kali ini berjaya menjimatkan kos, disamping memastikan objektif utama tercapai iaitu mendekati dan memahami keperluan veteran.
Veteran yang hadir memberikan maklum balas positif terhadap usaha persatuan, termasuk program keusahawanan dan persediaan kerjaya. Sesi ini juga diharapkan dapat mendorong lebih ramai veteran TLDM untuk mendaftar sebagai ahli PVTLDM, sekaligus memperkukuh keanggotaan dan sokongan terhadap persatuan.
Tahniah diucapkan kepada Yang Dipertua (YDP), barisan Ahli Jawatankuasa, serta semua sekretariat yang terlibat dalam menjayakan program ini. Usaha sebegini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan PVTLDM dengan veteran tetapi juga memastikan kebajikan mereka terus terjaga. Semoga program ini memberikan manfaat kepada semua yang terlibat dan menjadi asbab untuk PVTLDM terus maju ke hadapan dalam membantu ahlinya.
Dengan berlangsungnya program ini, PVTLDM menutup tahun 2024 dengan komitmen teguh untuk terus memperkasakan veteran TLDM di seluruh negara.