Kuala Lumpur, 21 Februari 2025 – Usai sesi diskusi bersama Pengerusi MATRADE, YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang diaturkan oleh YDP PVTLDM Cawangan Pulau Pinang, perbincangan kali ini memberi fokus kepada Inisiatif 3K PVTLDM, terutamanya mengenai Kebolehpasaran Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk kerjaya kedua dan bidang keusahawanan.
Diskusi ini menekankan usaha untuk melengkapi Ekonomi Biru, yang berpotensi memberi peluang kepada veteran TLDM, terutamanya mereka yang berasal dari Pulau Pinang. Pulau Pinang memiliki asas ekonomi yang kukuh dalam industri perkapalan dan pelaburan komersial yang pesat. Ini membuka peluang bagi veteran TLDM untuk melibatkan diri dalam kerjaya kedua, dengan peluang gaji yang lebih tinggi, serta memperluaskan sumbangan mereka dalam sektor yang berkembang pesat ini.
YB Datuk Seri Reezal Merican, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang dan Pengerusi MATRADE, menyatakan bahawa MATRADE berpotensi membantu memperkenalkan pemain industri dalam Ekonomi Biru kepada pihak TalentCorp, untuk mempromosikan veteran TLDM sebagai sumber yang perlu diteroka dan dikembangkan.
Selain itu, perbincangan mengenai keusahawanan turut mendapat perhatian, di mana MATRADE berupaya membantu membuka pasaran luar negara untuk produk-produk yang dihasilkan oleh veteran TLDM. Dengan sokongan ini, produk veteran tidak lagi terhad kepada pasaran tempatan, malah berpeluang untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
YB Datuk Seri Reezal Merican turut berkongsi inisiatif terkini yang dilaksanakan oleh MATRADE, dan menyatakan sokongan terhadap hala tuju PVTLDM yang semakin mantap. Diharapkan, langkah ini akan membuka dimensi baru dalam menilai potensi sebenar veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhan.