Sesi Konsultansi Pertama Bersama JW Empire & SIRIM Bantu Usahawan Veteran TLDM Dapatkan Geran Kerajaan

Lahat, 27 Februari 2025 – Sesi konsultansi pertama antara PVTLDM, JW Empire, dan SIRIM telah berjaya dilaksanakan di SIRIM Berhad Negeri Perak. Sesi ini bertujuan untuk membantu usahawan veteran TLDM dalam mendapatkan geran daripada kerajaan, yang merupakan salah satu usaha dalam memperkasakan keusahawanan veteran melalui Inisiatif Usahawan PVTLDM.

Sesi konsultansi ini melibatkan kumpulan usahawan veteran TLDM yang telah berdaftar dalam program Inisiatif Usahawan PVTLDM sejak November 2024. Fokus utama sesi kali ini adalah untuk membantu usahawan veteran yang berada di Perak, dengan tumpuan kepada pembinaan dan pengukuhan perniagaan mereka melalui bantuan kerajaan yang tersedia. PVTLDM juga berbesar hati kerana Mantan Panglima PASKAL turut hadir untuk sama-sama meneroka ruang dan peluang dalam menambahbaik perniagaan semasa.

Sesi ini memberikan peluang kepada para peserta untuk berbincang secara langsung dengan pakar dan konsultan daripada JW Empire dan SIRIM mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk memohon dan memperoleh geran yang dapat menyokong perkembangan perniagaan mereka. Apa yang lebih menarik, suasana program ini penuh dengan semangat usahawan veteran yang mempunyai pemikiran dan matlamat yang sama, di mana mereka tidak hanya mengharapkan bantuan semata-mata tetapi mahu memperkasakan perniagaan mereka dengan usaha yang gigih.

PVTLDM berharap sesi pertama ini dapat menjadi pemangkin untuk lebih ramai usahawan veteran TLDM untuk bersama-sama terlibat dalam Inisiatif 3K PVTLDM, khususnya dalam aspek keusahawanan. Dengan sokongan berterusan dari PVTLDM, diharapkan para veteran dapat terus mendapat manfaat serta kemudahan yang diperlukan untuk berkembang dalam dunia perniagaan.

Siri konsultansi seterusnya secara online akan dilaksanakan pada 8 Mac 2025, terutamanya untuk mereka yang berada di luar negeri Perak. Nantikan pengumuman selanjutnya melalui kumpulan WhatsApp PVTLDM cawangan masing-masing.