Sesi Taklimat Bakal Veteran ATM Anjuran PVTLDM Johor Dapat Sambutan Baik

JOHOR BAHRU, 21 Mei 2025 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Negeri Johor telah menganjurkan Sesi Taklimat Kepada Bakal Veteran ATM di Pangkalan TLDM Johor Bahru, bermula jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Program ini memberi pendedahan awal kepada anggota yang bakal bersara berkaitan kebajikan, kerjaya kedua, keusahawanan dan pembangunan ilmu pasca-persaraan.

Seramai 37 bakal pesara hadir, terdiri daripada 30 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), 4 dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 3 anggota Johor Military Force (JMF). Kehadiran kumpulan pertama dari JMF menjadi detik bersejarah kepada penganjuran sesi kali ini.

Program asalnya merangkumi dua sesi utama: Taklimat oleh KWSP dan Taklimat Halatuju Bakal Pesara oleh Tuan Ralid bin Jani, Pengerusi Tetap PVTLDM Johor. Namun, sesi KWSP terpaksa dibatalkan pada saat akhir, dan digantikan dengan ucapan motivasi oleh Yang Dipertua PVTLDM Johor, Lt Kdr Haji Hanafiah bin Jaffar TLDM (Bersara).

Dalam ucapannya, YDP Tuan Haji Hanafiah menyampaikan mesej motivasi yang menekankan kepentingan persiapan awal untuk fasa kehidupan selepas persaraan, serta menyeru bakal pesara agar mengambil peranan aktif dalam persatuan veteran demi menjaga kebajikan bersama.

Tuan Ralid bin Jani, dalam slot utama beliau, menyampaikan pengisian berteraskan konsep 4K, iaitu:

  1. Kebajikan – Peranan penting persatuan dalam melindungi kebajikan veteran selepas bersara.
  2. Kerjaya Kedua – Panduan memilih kerjaya yang sesuai untuk menyokong kehidupan keluarga selepas tamat perkhidmatan.
  3. Keusahawanan – Peluang perniagaan yang boleh diceburi serta panduan memulakan perniagaan kecil atau sederhana.
  4. Knowledge (Ilmu) – Kepentingan mengikuti kursus atau latihan untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan zaman.

Sesi yang berjalan dengan penuh perhatian dan semangat ini telah meningkatkan kesedaran peserta tentang cabaran dan peluang pasca-persaraan, serta menggariskan betapa pentingnya jaringan sokongan melalui organisasi seperti PVTLDM.

PVTLDM Johor menyatakan komitmen untuk meneruskan sesi taklimat sebegini secara berkala agar lebih ramai anggota mendapat pendedahan dan bimbingan awal menuju alam veteran yang lebih sejahtera dan terancang.