Sesi Townhall Veteran ATM Bersama Panglima Angkatan Tentera: Suara Veteran Didengari

Kuala Lumpur, 19 Mac 2025 – Satu sesi Townhall Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah berjaya diadakan di Wisma Perwira ATM bagi membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan, tuntutan, dan persoalan yang dihadapi oleh Veteran ATM. Program ini, yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), telah dihadiri oleh hampir 400 veteran dari pelbagai latar belakang perkhidmatan, termasuk Presiden Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) yang turut hadir bagi mewakili kepentingan ahli-ahli PVTLDM.

Sesi townhall ini dirancang sebagai langkah proaktif setelah Jeneral Datuk Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar mengambil alih jawatan Panglima Angkatan Tentera ke-23 pada 31 Januari 2025. Program ini telah dibahagikan kepada tujuh sesi utama, masing-masing membincangkan aspek penting berkaitan kebajikan dan kepentingan Veteran ATM.

Sesi pertama dimulakan dengan penerangan oleh Bahagian Kebajikan JHEV mengenai faedah Institut Jantung Negara (IJN) dan Bantuan Sara Hidup kepada veteran. Seterusnya, Bahagian Pencen JHEV membincangkan pengiktirafan status Veteran, Faedah Hilang Upaya, dan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam.

Dalam sesi ketiga, Bahagian Kerjaya dan Sosioekonomi menerangkan peluang kerjaya kedua bagi veteran serta inisiatif perumahan yang tersedia. Sesi keempat pula menyentuh mengenai dasar Majlis Governing Principles dan Polisi Veteran ATM (MGPPV ATM).

Sesi kelima menumpukan kepada VIBES 2.0 dan Kad Veteran Digital, yang disampaikan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat, sebelum sesi keenam diteruskan dengan perkongsian daripada Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon bin Haji Marjuki.

Sesi terakhir adalah Dialog Veteran ATM bersama Panglima Angkatan Tentera dan Panglima-Panglima Perkhidmatan, yang menjadi platform utama bagi veteran menyuarakan isu dan tuntutan mereka secara langsung. Dalam ucapan pembukaannya, Panglima Angkatan Tentera menegaskan kepentingan veteran dalam ekosistem ATM, menyifatkan mereka sebagai sebahagian daripada keluarga besar ATM yang saling memerlukan.

Antara isu utama yang dibangkitkan oleh veteran termasuk penyelarasan pencen bagi mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013. Pihak ATM mengambil maklum perkara ini dan berjanji untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi mencari penyelesaian terbaik.

Sesi townhall ini menjadi bukti komitmen ATM dalam menghargai jasa dan pengorbanan veteran yang telah berkhidmat untuk negara. Susulan daripada sesi ini, beberapa perbincangan susulan akan diadakan bagi merangka tindakan yang lebih sistematik demi kebajikan Veteran ATM.