Seri Manjung, 8 Mei 2025 – Persatuan Veteran TLDM Malaysia (PVTLDM) Cawangan Negeri Perak telah dijemput menyampaikan taklimat kepada para pelatih yang bakal menamatkan perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pusat Latihan Bina Veteran (PLBV) Lumut. Taklimat ini merupakan sebahagian daripada program Siri 2/2025 anjuran PERHEBAT Perak, yang memberi tumpuan kepada penyediaan persediaan awal sebelum bersara.
Seramai 37 pelatih hadir dalam sesi ini, terdiri daripada anggota pelbagai pangkat bermula dari Komander TLDM hingga ke Koperal, mewakili ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM – Darat, Laut dan Udara. Kehadiran pelatih dari latar belakang berbeza ini memberikan suasana dinamik serta membuka ruang perkongsian pengalaman dan pertanyaan secara interaktif sepanjang taklimat berlangsung.
Taklimat yang disampaikan oleh Encik Nor Suhairi bin Md Noor, Setiausaha PVTLDM Cawangan Perak memberi tumpuan kepada peranan dan fungsi persatuan dalam membantu kebajikan veteran selepas tamat perkhidmatan. Antara perkara yang dikongsikan termasuklah kemudahan ahli, platform keusahawanan, jaringan kebajikan, serta program sukarelawan di bawah Inisiatif 3K PVTLDM.
Sesi ini turut membuka peluang kepada para pelatih untuk mengenali lebih dekat PVTLDM dan manfaat yang bakal dinikmati sekiranya menyertai sebagai ahli selepas bersara kelak. Para pelatih menunjukkan minat yang tinggi dan melontarkan pelbagai soalan berkaitan sokongan kerjaya, bantuan selepas persaraan serta peluang menyumbang semula dalam komuniti veteran.
Program seperti ini dilihat sangat penting dalam membantu peralihan kerjaya anggota ATM ke dunia sivil. PVTLDM Cawangan Perak akan terus komited menjalin kerjasama erat bersama PERHEBAT dan agensi berkaitan bagi memastikan veteran diberi panduan dan sokongan yang sewajarnya.