Ajak Shiro Sokong Inisiatif 3K PVTLDM

Kuala Lumpur, 8 Mei 2025 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) telah mengadakan satu sesi libat urus awal yang penuh makna bersama selebriti tanah air yang juga merupakan veteran Tentera Laut DiRaja Malaysia, Ajak Shiro. Pertemuan yang berlangsung dalam suasana santai tetapi sarat dengan semangat kerjasama ini merupakan langkah strategik PVTLDM untuk merancakkan lagi inisiatif persatuan melalui kolaborasi bersama tokoh-tokoh industri hiburan tanah air.

Ajak Shiro, atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi bin Razak, yang dikenali sebagai pelawak, pelakon dan penyampai radio, pernah berkhidmat dalam TLDM sebelum mencipta nama dalam dunia seni. Kehadirannya sebagai individu berpengaruh dalam masyarakat memberikan potensi besar untuk mengetengahkan peranan dan imej veteran TLDM kepada khalayak yang lebih luas, terutamanya generasi muda.

Pertemuan ini turut memberi fokus kepada penerangan berkenaan hala tuju baharu PVTLDM menerusi ‘Inisiatif 3K PVTLDM’ – iaitu Kebajikan, Keusahawanan dan Kesukarelawanan. Ajak menyatakan persetujuan serta sokongan terhadap aspirasi ini, khususnya dalam usaha mengubah persepsi umum terhadap veteran – daripada mentaliti bergantung kepada bantuan, kepada pemikiran berdikari dan menyumbang kembali kepada masyarakat melalui pengalaman serta potensi sebenar yang dimiliki.

Dalam sesi perbincangan tersebut, turut dibincangkan cadangan jangka panjang untuk melibatkan lebih ramai selebriti yang mempunyai latar belakang TLDM. Antara nama yang disebut termasuk penyanyi Suhaimi Meor Hassan, Nasir Search dan pengarah filem terkenal, Z Lokman. Juga bakal diberi perhatian ialah selebriti yang merupakan anak kepada anggota veteran TLDM seperti Kak Lina Pom Pom, Farahdhiya, Syarifah Zarina dan Ryan Bakery. Mereka dijangka dapat menyumbang melalui perspektif berbeza dalam program kesedaran dan promosi yang akan datang.

Ajak Shiro turut menyatakan kesediaan untuk berkongsi pengalaman dalam bidang keusahawanan melalui jenama restoran beliau, Bumbu Babah, yang menghidangkan masakan nasi Padang. Model perniagaan ini dilihat sangat sesuai untuk diperluaskan kepada veteran yang berminat memulakan kerjaya baharu sebagai usahawan. Perbincangan lanjut akan diadakan bagi membina platform khusus untuk kerjasama ini.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh PVTLDM dalam memperluas rangkaian, memperkukuh imej dan memberikan lebih banyak peluang kepada ahli-ahli veteran TLDM selepas bersara. Kehidupan selepas perkhidmatan ibarat pelayaran yang panjang – penuh cabaran, namun tidak mustahil untuk sampai ke destinasi jika dilengkapi dengan pengetahuan dan sokongan yang betul.

PVTLDM menyeru lebih ramai veteran dan bakal pesara untuk turut serta dalam pelbagai program yang dirangka. Layari laman web rasmi kami di www.pvtldm.org untuk maklumat lanjut dan menjadi sebahagian daripada perubahan yang positif ini.