MERDEKA GOLF CHARITY CUP 2025
Mengangkat Nilai Patriotisme & Tanggungjawab Sosial melalui Platform Sukan Berprestij
Merdeka Golf Charity Cup (MGCC) 2025 merupakan sebuah inisiatif berimpak yang dirancang untuk menghimpunkan para pemimpin industri, tokoh korporat, pucuk pimpinan TLDM, pegawai kanan pertahanan serta masyarakat umum dalam satu kejohanan golf bertaraf tinggi. Lebih daripada sekadar acara sukan amal, MGCC menjadi simbol solidariti dan penghargaan terhadap jasa para veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah menyumbang kepada keamanan dan keselamatan maritim negara.
Acara tahunan ini dilaksanakan bersempena bulan kemerdekaan demi memperkukuh lagi semangat kebangsaan dalam konteks yang lebih luas iaitu tanggungjawab bersama dalam memastikan para wira negara agar terus dihargai dan dibantu dalam fasa kehidupan pasca-perkhidmatan.
Objektif MGCC 2025
PVTLDM merupakan Persatuan Veteran Tentera terbesar by service dengan keahlian melebihi 11,000 orang. 60% daripada jumlah ini adalah terdiri dari mereka yang berumur 30 ke 60 tahun, satu peringkat umur yang masih produktif. Justeru, MGCC bertujuan menyokong pelaksanaan tiga teras program utama yang dikendalikan oleh Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM):
1. Kebajikan Sosial
Menyediakan bantuan bersasar kepada Veteran TLDM yang memerlukan, termasuk golongan Asnaf, ibu tinggal, pesakit kronik dan veteran kurang upaya.
2. Kebolehpasaran Kerjaya Kedua
Membantu Veteran TLDM dalam proses peralihan kerjaya melalui latihan semula, program bimbingan dan jaringan penempatan pekerjaan dalam pelbagai sektor strategik terutamanya dalam industri Ekonomi Biru.
3. Pemerkasaan Keusahawanan
Menyediakan akses kepada program pembangunan perniagaan, dana permulaan serta peluang kerjasama dalam lanskap sosioekonomi negara.
Nilai Strategik & Jangkaan Penyertaan
MGCC 2025 dijangka menarik penyertaan tokoh-tokoh penting dari pelbagai sektor termasuk pertahanan, korporat, industri maritim dan institusi kerajaan. Penyertaan pelbagai lapisan ini bukan sahaja mewujudkan suasana kejohanan yang kompetitif dan berprestij, tetapi turut membuka ruang kepada kolaborasi jangka panjang antara sektor awam, swasta dan komuniti Veteran TLDM.
Majlis perasmian MGCC 2025 dijangka akan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Veteran Kebangsaan (MVK), satu penghormatan yang mencerminkan kepentingan nasional acara ini.
Menjana Impak Melangkaui Padang Golf
MGCC 2025 membawa aspirasi untuk menjadikan platform sukan sebagai medan menyatukan aspirasi kebangsaan dengan tanggungjawab sosial korporat. Dalam masa yang sama, ia turut mengangkat citra dan peranan sektor korporat sebagai rakan strategik pembangunan masyarakat pasca-perkhidmatan.
Pihak penganjur amat mengalu-alukan penyertaan dari pelbagai organisasi yang berkongsi aspirasi ini dan bersedia menyokong usaha memperkasakan golongan Veteran TLDM secara berstruktur dan berterusan.
Bersama, kita tidak sekadar bermain golf, malah kita membina masa depan yang lebih baik untuk mereka yang pernah mempertahankan perairan negara.
