PVTLDM Perkasa Kesedaran Awal Bakal Pesara TLDM di KD SULTAN ISMAIL

KOTA TINGGI, 5 Jun 2025 – Seramai 40 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijadualkan bersara pada tahun 2027 dan 2028 telah menghadiri Forum Khidmat Nasihat Bakal Pesara yang berlangsung di Auditorium Shariff, KD SULTAN ISMAIL.

Program ini dianjurkan oleh Cawangan Pengurusan Sumber Manusia – LLP TLDM, bertujuan memberi pendedahan awal kepada anggota berkaitan Latihan Peralihan mengikut dasar dan garis panduan TLDM. Antara pengisian utama forum ini ialah sesi taklimat khas oleh Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) yang disampaikan oleh Lt Ahmad Nizam bin Ahmad Rusli TLDM (B) mewakili Presiden PVTLDM.

Taklimat tersebut menekankan peranan aktif PVTLDM sebagai sebuah NGO yang mewakili veteran TLDM, berdaftar di bawah JHEV dan kini bergerak melalui Inisiatif 3K – Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan.

Dalam aspek Kebajikan, PVTLDM terus memperluas capaian program seperti Ziarah Kasih dan bantuan kepada veteran serta pasangan yang memerlukan, termasuk memberi penekanan kepada veteran wanita.

Bagi Kerjaya, PVTLDM memperkukuh laluan kedua kerjaya veteran melalui kerjasama dengan institusi latihan seperti TSTC, RANACO, dan NIOSH, serta usaha membuka peluang pekerjaan dalam Ekonomi Biru dan industri maritim melalui perbincangan dengan pemain industri strategik.

Dalam bidang Keusahawanan, PVTLDM giat melaksanakan program seperti Entrepreneur Ecosystem – Infinity Toolbox dan membangunkan direktori usahawan veteran secara dalam talian bagi membantu ahli memperluas jaringan pasaran.

Taklimat turut memperkenalkan program penjanaan dana utama tahun ini termasuk Larian Amal, Golf Amal dan Makan Malam Amal PVTLDM 2025, bagi mengukuhkan kedudukan kewangan persatuan.

Sesi ini turut disertai oleh Lt Kdr Haji Hanafiah bin Jaffar TLDM (Bersara) yang memberikan motivasi ringkas setelah wakil KWSP tidak dapat hadir pada saat akhir.

Forum berakhir dengan sesi soal jawab yang menunjukkan minat tinggi dalam kalangan bakal pesara terhadap PVTLDM dan peranan strategiknya selepas tamat perkhidmatan. Komitmen dan sokongan dari warga TLDM menjadi pemangkin kepada kejayaan berterusan usaha memartabatkan veteran laut negara.

Maklumat lanjut boleh diakses melalui laman web rasmi PVTLDM di www.pvtldm.org.