Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM): Pengiktirafan Tinggi Buat Perjuangan Veteran ATM

KUALA LUMPUR, 5 Jun 2025 – Dewan Perdana FELDA, Jalan Semarak menjadi saksi kepada majlis berprestij Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang pernah berjuang dalam menentang ancaman pengganas komunis satu ketika dahulu. Majlis ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain, sebagai tanda penghormatan tertinggi terhadap jasa dan pengorbanan mereka.

Pingat Jasa Malaysia (PJM) merupakan satu bentuk pengiktirafan nasional yang diberikan kepada anggota tentera yang telah menunjukkan keberanian luar biasa, kesetiaan mutlak dan pengorbanan besar demi mempertahankan kedaulatan tanah air semasa era darurat. Kedudukan PJM sebagai pingat kanan – mengatasi beberapa anugerah lain seperti Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) – jelas membuktikan nilai tinggi yang disandarkan kepada perjuangan wira negara ini.

Pada tahun ini, Persatuan Veteran TLDM Cawangan Kuala Lumpur (PVTLDMCKL) telah mencatat sejarah tersendiri apabila mencatatkan jumlah penerima PJM tertinggi, termasuk seorang penerima berpangkat Laksamana Pertama, menjadikan cawangan ini satu-satunya yang menerima penghormatan tersebut dalam kalangan pegawai tinggi.

PVTLDM Cawangan Selangor juga turut menghantar wakil yang menerima anugerah berprestij ini, memperlihatkan komitmen dan semangat tidak luntur dalam kalangan veteran TLDM dari seluruh Lembah Klang.

Menurut Presiden PVTLDM, Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara), anugerah ini bukan hanya simbol kejayaan peribadi, tetapi juga bukti bahawa negara tidak melupakan jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu. Beliau turut menggesa agar lebih ramai ahli PVTLDM yang layak tampil membuat permohonan agar penghormatan ini dapat diberikan kepada semua yang berhak.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penerima PJM atas jasa yang tidak ternilai. Semoga penghargaan ini menjadi pemangkin semangat kepada seluruh komuniti veteran untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.