Program Ibadah Qurban PVTLDM Negeri Johor 2025 Eratkan Ukhuwah Komuniti dan Veteran

JOHOR BAHRU, 9 Jun 2025 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Johor dengan kerjasama TEAMCOAT dan komuniti Kampung Seri Aman telah berjaya menganjurkan Program Ibadah Qurban PVTLDM Negeri Johor 2025, yang berlangsung meriah di Dewan Samudera, Kebun TC, Kampung Tawakal, Johor Bahru. Program ini tidak hanya membawa makna pengorbanan dalam konteks keagamaan, tetapi turut menjadi wadah mengukuhkan silaturahim dalam kalangan warga veteran, penduduk setempat dan rakan strategik.

Majlis bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 2.00 petang, dimulakan dengan aktiviti HELWA yang merangkumi Bacaan Yasin dan Tazkirah oleh Ustazah jemputan dari Kg Seri Aman. Program ini mencerminkan komitmen PVTLDM terhadap pengukuhan nilai spiritual dan kekitaan dalam kalangan ahlinya.

Penyembelihan lembu qurban telah dijalankan lebih awal sekitar 4.30 pagi di pusat penyembelihan daerah Pontian, manakala aktiviti melapah, membungkus dan pengagihan daging korban dilakukan sepenuhnya di Dewan Samudera dengan bantuan gotong royong komuniti dan veteran yang hadir.

Antara momen paling bermakna adalah sesi jamuan bersama komuniti, di mana para tetamu dihidangkan pelbagai juadah istimewa seperti Sup Tulang & Mee Hoon, Nasi Putih, Sambal Tempoyak Daun Kayu, Masak Lemak Cili Api Daging Salai dan pelbagai ulam-ulaman. Semua hidangan dimasak secara bergotong-royong, menyemarakkan lagi semangat muafakat dan kekeluargaan.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran hampir 200 tetamu, termasuk Ahli Kehormat PVTLDM Johor, Datuk Hj Ramlee bin Bohani, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor. Kehadiran beliau memberikan suntikan semangat dan pengiktirafan kepada usaha berterusan PVTLDM dalam mendekati masyarakat dan menyemarakkan semangat perpaduan.

PVTLDM Negeri Johor mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya komuniti Kg Seri Aman dan warga TEAMCOAT atas komitmen dan sokongan padu dalam menjayakan program ini. Semoga inisiatif sebegini terus diperluaskan sebagai lambang ukhuwah dan perpaduan antara komuniti dan veteran TLDM di seluruh negeri Johor.