BANTING, 15 Jun 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa (AJK) Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Selangor Siri 3/2025 telah berlangsung di kediaman Kdr Hj Nordin Abu TLDM (B), di Jugra, Banting. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang Dipertua PVTLDM Selangor dan turut dihadiri oleh barisan AJK Cawangan.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk usaha menambah dana kewangan persatuan bagi memperkukuh keupayaan PVTLDM Selangor dalam menjayakan lebih banyak program kebajikan dan keusahawanan. Fokus turut diberikan kepada isu-isu kebajikan ahli, terutamanya melibatkan keperluan mendesak seperti bantuan perubatan, lawatan ziarah dan sokongan psikososial kepada veteran yang memerlukan.
Mesyuarat juga meneliti status pengagihan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan sijil PJM kepada ahli-ahli yang masih belum menerima penghargaan tersebut. Langkah susulan akan diambil oleh AJK terlibat bagi memastikan proses ini berjalan lancar dan lebih sistematik.
Satu lagi agenda penting ialah persiapan untuk Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PVTLDM Selangor yang ke-18, yang dijadualkan berlangsung pada 21 Jun 2025 bertempat di Hotel KIP, Batu Caves. Beberapa tindakan segera telah diputuskan termasuk perlantikan urus setia, pengesahan senarai kehadiran dan penyediaan dokumen mesyuarat.
Mesyuarat ini turut menjadi platform penting untuk memperkukuhkan peranan AJK dalam menjayakan objektif utama PVTLDM termasuk Inisiatif 3K iaitu Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan, selaras dengan aspirasi persatuan di peringkat pusat.