SHAH ALAM, 19 Jun 2025 – Satu pertemuan santai namun penuh bermakna telah berlangsung di Toli Toli Café, Shah Alam antara Presiden Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM), Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara) bersama Penasihat PVTLDM, YBhg. Dato’ Ramli Kardi.
Walaupun sesi perbincangan tidak diadakan secara rasmi, suasana santai tersebut telah membuka ruang kepada perkongsian pandangan yang lebih terbuka dan menyentuh isu-isu utama berkaitan hala tuju semasa PVTLDM. Dato’ Ramli dilihat amat tekun mendengar serta meneliti perkembangan terkini PVTLDM, termasuk program-program kebajikan, pembangunan kerjaya kedua, dan agenda keusahawanan yang sedang digerakkan melalui Inisiatif 3K PVTLDM.
Apa yang lebih bermakna, beliau turut memberi beberapa pandangan kritikal dan saranan strategik terhadap pelaksanaan program PVTLDM agar kekal relevan dan inklusif terhadap keperluan sebenar veteran TLDM di seluruh negara. Antara perkara yang disentuh termasuk potensi kerjasama lebih erat antara PVTLDM dan kerajaan negeri serta pendekatan inovatif dalam menjana dana persatuan.
Presiden PVTLDM menyifatkan pertemuan sebegini sebagai penting, kerana kadangkala perbincangan luar kerangka rasmi dapat melahirkan idea-idea segar yang lebih praktikal dan menyentuh realiti akar umbi. Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Dato’ Ramli untuk terus menyumbang kepakaran dan pemikiran dalam menjayakan program-program masa depan PVTLDM.
Pertemuan ini diharap menjadi pencetus kepada lebih banyak interaksi dua hala yang berterusan antara kepimpinan persatuan dan penasihat berpengalaman demi memperkasa masa depan warga veteran TLDM.