Mesyuarat Agung Negeri Ke-18 PVTLDM Selangor Dirasmikan oleh EXCO Kerajaan Negeri

BATU CAVES, 21 Jun 2025 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Selangor telah berjaya melangsungkan Mesyuarat Agung Negeri (MAN) ke-18 dengan penuh semangat kekeluargaan di KIP Hotel, Batu Caves, dengan kehadiran seramai 70 orang ahli.

Majlis yang berlangsung penuh harmoni ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Puan Anfaal binti Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor merangkap ADUN Taman Templer. Hadir sama ialah Yang Dipertua PVTLDM Selangor, Dato’ Haji Ramle bin Nayan, Presiden PVTLDM Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara), Timbalan Presiden serta barisan kepimpinan negeri dan pusat.

Dalam ucapannya, YB Puan Anfaal menzahirkan penghargaan atas usaha PVTLDM dalam mengangkat martabat veteran melalui Inisiatif 3K – Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan, yang selari dengan dasar Iltizam Selangor Penyayang. Beliau menyarankan agar pendekatan “memberi ikan & pancing” dipadankan agar hasilnya lebih mampan dan memberi kesan jangka panjang kepada para veteran.

YB juga menyentuh tentang agenda “Silver Economy”, iaitu inisiatif kerajaan negeri menyediakan kehidupan lebih bermakna kepada warga emas menjelang status Malaysia sebagai negara tua pada tahun 2030. Dalam konteks ini, beliau menyokong penuh peranan veteran sebagai pemangkin intergenerasi, berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan generasi muda.

Beliau turut mencadangkan satu pertemuan rasmi bersama PVTLDM diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan pelbagai peluang termasuk memperkasa veteran wanita untuk kembali bekerja, melalui kerjasama dengan TalentCorp dan PERKESO.

Sebagai tanda sokongan kepada keterlibatan wanita veteran, YB turut menjemput ahli HELWA PVTLDM Selangor menyertai Selangor Women Connection (SWC 2025) pada 28 Jun 2025 di Shah Alam Convention Centre, sebagai platform jaringan strategik dan pembangunan diri.

MAN ke-18 ini menjadi platform penting bagi melaporkan pencapaian tahun sebelumnya, menyusun hala tuju, serta menyemarakkan iltizam untuk terus memperkukuh kedudukan PVTLDM sebagai suara utama kebajikan dan pembangunan veteran di Selangor.