SIBU, 21 Jun 2025 – Mesyuarat Jawatankuasa (AJK) Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Negeri Sarawak yang telah berlangsung baru-baru ini membincangkan beberapa agenda penting berkaitan pelaksanaan Mesyuarat Agung Negeri (MAN) dan kehadiran ke Persidangan Perwakilan Negara PVTLDM 2025.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Yang Dipertua (TYDP), En. Hussain Abdul Rani, telah memberi fokus kepada pemilihan wakil-wakil yang akan menghadiri Persidangan Perwakilan Negara PVTLDM 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 20 September 2025. Perkara ini adalah selaras dengan surat rasmi daripada Setiausaha Agung PVTLDM bertarikh 23 April 2025. Setelah perbincangan dibuat, dipersetujui bahawa kos penerbangan sehala akan ditanggung oleh Persatuan, manakala kos penginapan, pengangkutan dan makan ditanggung sendiri oleh wakil yang hadir.
Selain itu, mesyuarat turut melantik Puan Siti Meriam sebagai Juruacara untuk Mesyuarat Agung Negeri akan datang, dengan TYDP En. Hussain Abdul Rani sebagai simpanan. Bagi bacaan doa, TYDP mencadangkan agar jemputan dibuat kepada anggota KAGAT dari 501 Rejimen Askar Wataniah, Kem Sri Rejang, Sibu sebagai menghormati konteks kenegerian majlis tersebut.
Dalam usaha memperkukuh komunikasi dengan ahli-ahli yang tidak berada dalam ‘Group WhatsApp’, Setiausaha melaporkan bahawa penggunaan surat akan melibatkan kos tinggi. Sehubungan itu, Ketua Penerangan En. Sandai Anak Bettie telah diberi mandat untuk menyampaikan makluman melalui saluran radio RTM Sibu dalam Bahasa Iban dan Bahasa Melayu, dalam masa terdekat.
Bagi menghargai tetamu kehormat pada Mesyuarat Agung Negeri 2025, mesyuarat bersetuju untuk menghadiahkan cenderahati berbentuk Ship’s Crest atau Pelaka, sebagai simbolik maritim dan tanda penghargaan PVTLDM Sarawak.
Turut dipersetujui ialah cadangan oleh Naib Yang Dipertua 2 (NDP2) En. Rahmat bin Abdullah, agar proses pembaharuan Kad Keahlian PVTLDM Sarawak dikenakan bayaran sebanyak RM10.00, iaitu RM6.00 bagi kos pencetakan kad dan RM4.00 disalurkan ke dalam akaun persatuan. Semua AJK yang hadir bersetuju dengan ketetapan tersebut.
Mesyuarat ini jelas menunjukkan komitmen PVTLDM Sarawak dalam memperkemaskan pentadbiran dan kebajikan ahlinya, serta menjamin kelancaran Mesyuarat Agung Negeri yang akan datang.