Menuju Kesepaduan Veteran: PVTLDM Sabah dan PVTLDM Pusat Jalin Usaha Gabungan Strategik

KUALA LUMPUR, 2 Julai 2025 – Menjelang Mesyuarat Agung Negeri (MAN) Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Sabah yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini di Tawau, satu pertemuan bersejarah telah berlangsung di Villa Samudera, Kuala Lumpur antara Presiden PVTLDM, Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara) dan YBhg. Puan Sri Zamzelina Ahmad, Presiden PVTLDM Sabah.

Pertemuan ini memberi tumpuan utama kepada usaha menyatukan dua entiti persatuan veteran TLDM di Sabah menerusi pendekatan “complementing rather than competing”. Pendekatan ini diyakini akan membawa manfaat besar kepada warga veteran TLDM di negeri tersebut melalui penyelarasan program, pemusatan sumber dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan.

YBhg. Puan Sri Zamzelina menyatakan komitmen penuh dalam menjayakan cadangan ini dan mengalu-alukan usaha strategik ke arah kesepaduan. Beliau menzahirkan sokongan terhadap visi jangka panjang PVTLDM serta kesediaan Sabah untuk menjadi contoh kolaborasi efektif antara peringkat negeri dan pusat.

Presiden PVTLDM turut mengambil peluang dalam sesi tersebut untuk memperincikan hala tuju Inisiatif 3K (Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan) yang kini menjadi tunjang pembangunan strategik PVTLDM di seluruh negara. Inisiatif ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada kesejahteraan veteran dan keluarga mereka, malah membuka ruang baharu dalam sektor pekerjaan dan keusahawanan pasca perkhidmatan.

YBhg. Puan Sri Zamzelina turut membuktikan sokongan aktif beliau apabila telah menyertai salah satu program Infinity Tools, yang merupakan sebahagian daripada modul keusahawanan PVTLDM. Penyertaan tersebut memperkukuh lagi komitmen beliau terhadap pembangunan ekonomi dalam kalangan veteran, khususnya wanita dan keluarga anggota.

Presiden PVTLDM menyifatkan pertemuan ini sebagai satu titik permulaan penting ke arah ekosistem veteran yang lebih mampan dan inklusif di Sabah. Beliau turut berharap agar segala perancangan yang dibina atas semangat kolaboratif ini akan dipermudahkan dan membawa manfaat jangka panjang kepada komuniti veteran TLDM di seluruh negara.

Dengan iltizam yang teguh daripada kedua-dua pihak, PVTLDM yakin kesepaduan ini akan melonjakkan lagi usaha memperjuangkan hak dan kebajikan veteran Tentera Laut Diraja Malaysia secara menyeluruh.