LABUAN, 28 Jun 2025 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Labuan telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) bagi tahun 2025, yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Agensi Penguatkuasaan Maritim Labuan. Mesyuarat ini mencerminkan semangat kesatuan, keterangkuman dan tekad warga veteran dalam memperkukuh hala tuju persatuan di peringkat negeri dan nasional.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua PVTLDM Cawangan Labuan, Lt Wan Abdul Rahim bin Wan Abdul Rahman TLDM (Bersara), yang menekankan kepentingan solidariti dalam kalangan ahli serta menyambut baik penglibatan aktif semua veteran dalam mendukung agenda persatuan.
Ketua Penerangan PVTLDM Malaysia, Lt Kdr Ummar bin Mohd Ali TLDM (Bersara) turut hadir dalam mesyuarat ini sebagai wakil rasmi dari peringkat pusat. Beliau menyampaikan amanat Presiden PVTLDM, Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara), yang menyentuh secara langsung aspirasi serta halatuju semasa PVTLDM khususnya berkaitan Inisiatif 3K – Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan.
Sesi diteruskan dengan slot interaktif “Town Hall” yang membolehkan ahli-ahli bertanya secara terbuka berkaitan program, dasar, dan usaha yang sedang digerakkan oleh PVTLDM di peringkat nasional. Beberapa soalan dan cadangan telah dikemukakan berkaitan dengan usaha menambah baik jaringan kerjaya kedua, pembangunan keusahawanan veteran di Sabah dan Labuan, serta penambahbaikan sistem keahlian digital.
Ahli-ahli PVTLDM Labuan turut mengambil peluang untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada pelaksanaan Inisiatif 3K, dengan penekanan kepada keperluan latihan kemahiran dan akses dana keusahawanan berskala kecil bagi komuniti veteran di pulau bebas cukai ini.
Mesyuarat yang berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni ini turut memuktamadkan senarai perwakilan dari PVTLDM Labuan yang akan menghadiri Mesyuarat Perwakilan PVTLDM Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada bulan September 2025. Keputusan ini dilihat penting dalam memastikan suara veteran dari Labuan terus diwakili dalam pembuatan dasar dan penyusunan strategi jangka panjang persatuan.
Mesyuarat kemudiannya ditangguhkan tepat jam 1.00 tengah hari dengan iltizam baharu untuk terus memartabatkan peranan PVTLDM sebagai suara keramat veteran Tentera Laut Diraja Malaysia di Wilayah Persekutuan Labuan dan sekitarnya.