TAWAU, 6 Julai 2025 – Dalam kunjungan singkat sebelum pulang dari Sabah, delegasi Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) telah berpeluang melawat Taman Rekreasi Hutan Simpan Membalua, sebuah lokasi rekreasi unik yang kini diterajui oleh bekas anggota elit PASKAL dan Timbalan Yang Dipertua PVTLDM Cawangan Sabah, Encik Ibrahim bin Hj Palau.
Taman ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara PVTLDM Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah, di mana Encik Ibrahim dilantik sebagai pengendali fasiliti tersebut. Beliau memanfaatkan sepenuhnya disiplin, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh semasa dalam perkhidmatan TLDM untuk menyumbang semula kepada komuniti dan pembangunan negeri.
Antara aktiviti yang ditawarkan di taman ini termasuk abseiling, wall climbing, flying fox, serta pelbagai kursus team building dan kendiri. Menariknya, kesemua aktiviti ini dikendalikan sendiri oleh Encik Ibrahim dan pasukannya, dengan sebahagian besar peralatan seperti kayak, bot dan paddle boat dibeli melalui pelaburan peribadi beliau – satu contoh komitmen luar biasa dalam memperkasa infrastruktur rekreasi untuk kegunaan umum.
Langkah ini bukan sahaja membuktikan keupayaan dan nilai tambah veteran dalam bidang pembangunan sosial, malah memberi inspirasi kepada komuniti setempat bahawa veteran bukan sekadar penerima bantuan, tetapi penyumbang aktif kepada negara.
Presiden PVTLDM, Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara) yang turut hadir, menyatakan rasa bangga dan kagum terhadap sumbangan Encik Ibrahim. Beliau menegaskan bahawa semangat juang, disiplin dan kemahiran yang dimiliki oleh veteran TLDM terus relevan dan mampu memberikan impak positif kepada agensi kerajaan serta masyarakat umum walaupun selepas bersara.
PVTLDM komited untuk terus mengenal pasti dan mengetengahkan lebih ramai veteran yang berpotensi agar dapat terus berbakti kepada tanah air dalam pelbagai sektor strategik, termasuk ekopelancongan, pendidikan, keselamatan komuniti dan pembangunan belia.