Veteran TLDM Sertai Kursus OSH Coordinator NIOSH Secara Percuma

BANGI, 13 Julai 2025 – Satu detik bersejarah tercipta apabila kumpulan pertama veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memulakan langkah dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui penyertaan dalam Kursus OSH Coordinator (Occupational Safety and Health Coordinator) anjuran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) di Bangi.

Kursus ini merupakan hasil kerjasama sulung antara Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) dan NIOSH, hasil beberapa siri perbincangan strategik serta penyelarasan antara kedua-dua pihak bagi membangunkan laluan kerjaya baharu untuk veteran TLDM.

Lebih membanggakan, yuran kursus yang bernilai RM864 telah ditanggung sepenuhnya oleh pihak NIOSH sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan semula kerjaya veteran. Para peserta hanya perlu membayar komitmen fee sebanyak RM50 sahaja. Langkah ini disifatkan sebagai satu bentuk keprihatinan yang amat dihargai oleh warga veteran.

Kursus ini dijalankan pada 11 hingga 13 Julai 2025, dan disertai oleh sembilan peserta dari kalangan ahli PVTLDM. Program ini amat signifikan memandangkan pewartaan Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penyelarasan Keselamatan dan Kesihatan) 2022 yang mewajibkan pelantikan OSH Coordinator bagi projek pembinaan yang bernilai RM20 juta ke bawah.

Dengan memperoleh kelayakan ini, para veteran kini mempunyai peluang untuk membina semula kerjaya dalam sektor-sektor utama negara seperti binaan, perkilangan, logistik dan perladangan. Mereka juga berpotensi untuk menyambung pengajian dan pensijilan ke peringkat lebih tinggi seperti Safety and Health Officer (SHO) yang menjanjikan pendapatan lebih lumayan.

PVTLDM berharap semua peserta dapat menampilkan tahap profesionalisme dan disiplin tinggi sepanjang program ini, sebagai cerminan imej positif warga veteran TLDM. Ini penting bagi memastikan peluang kerjasama masa depan bersama NIOSH dapat diteruskan dan diperluaskan.

PVTLDM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mejar Haji Hanif bin Maidin (B), Setiausaha Eksekutif NIOSH, atas komitmen dan peluang yang diberikan dalam menjayakan inisiatif ini di bawah program Kerjaya PVTLDM.