SIBU, 26 Julai 2025 – Mesyuarat Agung Negeri (MAN) Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Negeri Sarawak bagi tahun 2025 telah berjaya dilangsungkan dengan penuh tertib dan semangat kekitaan di Hotel Li Hua, Sibu, yang terletak berdekatan Terminal Bas Sibu.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Mejar Steven Anak Kadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Cawangan Negeri Sarawak, yang turut menyampaikan ucapan perangsang kepada barisan veteran TLDM yang hadir. Turut serta dalam mesyuarat ini ialah Tuan Unyok Anak Dasi, Yang Dipertua PVTLDM Cawangan Negeri Sarawak bersama barisan jawatankuasa cawangan.
Antara perkara penting yang dibincangkan dalam mesyuarat ini ialah cadangan pengambilan khas untuk kemasukan anak-anak veteran TLDM negeri Sarawak ke dalam perkhidmatan TLDM, yang disokong sebulat suara oleh para hadirin sebagai satu langkah kesinambungan warisan dan semangat patriotisme dalam keluarga veteran. Selain itu, turut dikemukakan ialah cadangan lawatan ke Stesen Luar Pantai TLDM di Terumbu Layang-layang bagi veteran TLDM Sarawak menggunakan kapal TLDM, yang dilihat sebagai satu penghormatan dan pengiktirafan kepada jasa veteran.
Mesyuarat ini juga memilih beberapa ahli untuk menghadiri Persidangan Perwakilan Negara PVTLDM yang akan diadakan pada 20 September 2025, bagi mewakili suara PVTLDM Sarawak di peringkat kebangsaan. Selain itu, terdapat cadangan agar Ahli Bersekutu PVTLDM Cawangan Sarawak daripada kalangan veteran TLDM dan balu-balu menjadi ahli tanpa dikenakan yuran, untuk menggalakkan lebih ramai penyertaan aktif dalam aktiviti persatuan.
Mesyuarat ini turut menjadi platform memperkukuh silaturahim, bertukar pandangan, serta memperkasakan lagi usaha kebajikan dan pembangunan modal insan dalam kalangan warga veteran TLDM di negeri Sarawak.