Mesyuarat Agung Tahunan PVTLDM Cawangan Terengganu 2025 Berlangsung Dengan Jayanya

KUALA TERENGGANU, 26 Julai 2025 – Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Terengganu telah berjaya melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunannya bagi tahun 2025 bertempat di Kompleks Tarbiah Darul At Taqwa, Batu Enam, Kuala Terengganu, tepat jam 11.00 pagi.

Majlis penuh bermakna ini telah dirasmikan oleh Mejar Wan Abdullah bin Wan Abd Samad TUDM, selaku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) Kelantan dan Terengganu, yang turut menyampaikan amanat serta kata-kata semangat kepada para hadirin. Turut hadir sebagai wakil rasmi PVTLDM Pusat ialah Timbalan Presiden PVTLDM, Tuan Haji Awai bin Muhammad, yang juga merangkap Yang Dipertua PVTLDM Cawangan Pahang.

Mesyuarat ini mencatatkan kehadiran seramai 45 orang ahli dan telah dikendalikan dengan cemerlang oleh Naib YDP, Kdr (B) Hanafie bin Abdullah yang mewakili YDP Terengganu atas faktor kesihatan. Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengerusi Tetap, Lt (B) Haji Muhammad bin Daud, manakala pelaksanaannya dipantau secara langsung oleh Tuan Haji Awai bin Muhammad.

Antara perkara yang dibentangkan dalam mesyuarat termasuk Laporan Kesiagaan oleh Setiausaha Negeri, En Mahadi Hassan bin Ismail, yang merangkumi penilaian aktiviti serta penglibatan ahli sepanjang tempoh tahun tersebut. Aktiviti di bawah inisiatif 3K (Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan) turut dibentangkan, melibatkan pelbagai program yang telah dilaksanakan bermula Julai 2024 hingga Jun 2025.

Selain itu, Laporan Kewangan berakhir Disember 2024 telah dibentangkan oleh Bendahari, En Juhari, dengan penerimaan secara sebulat suara tanpa sebarang bantahan. Mesyuarat kali ini juga tidak menerima sebarang usul baharu daripada para ahli, mencerminkan sokongan terhadap kepimpinan sedia ada.

Mesyuarat ditangguhkan pada jam 1.35 tengah hari dengan suasana mesra dan penuh harmoni. Para ahli turut mengambil kesempatan untuk beramah mesra dan bertukar pandangan demi memperkukuhkan lagi hala tuju persatuan.

Terkini, PVTLDM Cawangan Terengganu mencatatkan kekuatan seramai 395 ahli berdaftar, menjadikannya salah satu cawangan yang aktif dan berpotensi besar dalam mengangkat martabat veteran TLDM di negeri ini.