KOTA BHARU, 26 Julai 2025 – Mesyuarat Agung Negeri (MAN) Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Kelantan kali ke-19 telah berlangsung dengan jayanya pada hari Sabtu, bertempat di Dewan Putra, Kampung Chengal, Ketereh. Mesyuarat yang bermula tepat jam 9.00 pagi itu dihadiri seramai 72 orang ahli dan dipengerusikan oleh Hj Ramli bin Yahaya. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Hj Ismail bin Yaacob dan dikendalikan sepenuhnya oleh juruacara En Mansor bin Saleh.
Majlis dirasmikan oleh tetamu kehormat, Tuan Haji Wan Mohd Nur Faiz Hilmi bin Wan Hamat, Ketua Pegawai Eksekutif Ekspres Perdana Group, syarikat pengangkutan terkemuka negara yang mengendalikan lebih daripada 300 buah bas eksklusif di seluruh Semenanjung Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa teruja dapat bersama-sama veteran TLDM secara rasmi dan berkongsi pengalaman bahawa ramai pemandu syarikat beliau terdiri daripada kalangan veteran Angkatan Tentera. Beliau memuji sikap para veteran yang disifatkan sebagai sangat berdisiplin, cekap dan memiliki tahap prestasi yang tinggi. Sebagai tanda sokongan, beliau turut menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama strategik bersama PVTLDM dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan khas untuk veteran TLDM dalam syarikatnya.
Sebelum mesyuarat bermula, satu sesi Townhall Presiden PVTLDM turut diadakan, diketuai oleh Presiden PVTLDM, Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (B). Sesi ini bertujuan untuk mendengar secara langsung suara akar umbi termasuk isu kebajikan serta cadangan penambahbaikan daripada ahli-ahli PVTLDM Kelantan. Antara perkara penting yang dibincangkan dalam mesyuarat termasuklah cadangan bayaran yuran sebanyak RM1 sebulan (RM12 setahun) untuk mengisi dana persatuan, selain menyeru ahli mencari rakan-rakan veteran yang masih belum berdaftar bagi menguatkan jumlah keahlian kerana peruntukan dana bergantung kepada bilangan ahli berdaftar. Setiap ahli yang berdaftar menyumbang nilai RM10 kepada dana. Setakat ini, Cawangan Kelantan mempunyai 482 ahli yang bermakna dana yang diterima hanya RM4,820.
Mesyuarat turut menyentuh mengenai pemangkuan jawatan Yang Dipertua dan Timbalan Pengerusi mengikut Perlembagaan sehingga tamat penggal pada tahun 2027. Kelantan juga dijangka menjadi tuan rumah Mesyuarat Perwakilan pada tahun 2026 dan persediaan awal perlu dimulakan segera. Mesyuarat ditangguhkan pada jam 12.36 tengah hari. Sebagai penghargaan kepada kehadiran ahli, cabutan bertuah sebanyak 86 unit disediakan dan kesemua 72 ahli yang hadir berjaya membawa pulang hadiah masing-masing.