KERJASAMA STRATEGIK PERKUKUH AGENDA VETERAN TENTERA LAUT

KUALA LUMPUR, 28 Julai 2025 – Satu sesi taklimat rasmi telah diadakan bersama YBhg. Mejar Jeneral Dato’ Haji Semaon Marjuki, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) berkenaan pelaksanaan Merdeka Golf Charity Cup (MGCC) anjuran Persatuan Veteran TLDM Malaysia (PVTLDM).

Taklimat tersebut turut menjadi platform penting bagi Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (B), Presiden PVTLDM membentangkan status semasa pertubuhan termasuk perkembangan keahlian, pengukuhan struktur organisasi, serta pelaksanaan pelbagai program di bawah Inisiatif 3K PVTLDM yang meliputi aspek Kebajikan, Kerjaya dan Keusahawanan. Perkembangan ini menandakan komitmen berterusan PVTLDM dalam menyantuni keperluan warganya di seluruh negara.

Dalam taklimat tersebut, YBhg. Dato’ Ketua Pengarah turut menzahirkan penghargaan terhadap beberapa pencapaian penting yang telah direalisasikan oleh PVTLDM. Antara yang mendapat perhatian termasuk usaha penyeragaman pakaian korporat rasmi PVTLDM, peningkatan jumlah keahlian melebihi 11,000 orang, pelaksanaan program Townhall bersama cawangan-cawangan negeri secara aktif, serta inisiatif menyatukan tujuh persatuan veteran Tentera Laut di bawah satu bumbung yang kini sedang giat dilaksanakan secara inklusif.

Perbincangan juga turut menyentuh tentang pelancaran Program KEMUDI E25, sebuah inisiatif keusahawanan berstruktur yang dirancang untuk dilancarkan secara rasmi pada bulan hadapan. Program ini dijangka mampu membuka peluang lebih luas kepada veteran TLDM dalam bidang keusahawanan, selaras dengan pendekatan baharu yang lebih mampan dan berpaksikan jaminan masa depan warga veteran.

Menariknya, keikhlasan serta komitmen tinggi YBhg. Dato’ Ketua Pengarah terserlah apabila beliau secara peribadi memberi keutamaan terhadap urusan berkaitan taklimat ini. Malah, beliau telah mempercepatkan penyampaian maklumat serta memberikan maklum balas yang pantas kepada pihak pucuk pimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan bagi memastikan kesinambungan program ini dapat diteruskan dengan lebih tersusun.

Sikap beliau jelas mencerminkan semangat “Responsif, Prihatin dan Komited”, iaitu slogan utama JHEV ATM yang sentiasa menjadi panduan dalam menyantuni kebajikan warga veteran serta pertubuhan-pertubuhan yang bernaung di bawahnya.

Kerjasama strategik yang terjalin ini diharapkan mampu memperkukuhkan lagi agenda kebajikan, kerjaya dan keusahawanan veteran Tentera Laut Diraja Malaysia, ke arah pembangunan yang lebih inklusif, menyeluruh dan mampan sejajar dengan hasrat negara menghargai jasa perwira yang telah berbakti kepada tanah air.