MELAKA, 2 Ogos 2025 – Sebelum berangkat pulang selepas menghadiri Mesyuarat Agung Negeri PVTLDM Cawangan Melaka, Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (B), Presiden Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM), telah berpeluang melawat beberapa projek keusahawanan yang sedang diusahakan oleh Yang Dipertua PVTLDM Cawangan Melaka, Tuan Isa bin Kasim.
Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk penanaman tiram cendawan, petai hybrid, pisang tanduk, dan Homestay Veteran. Projek-projek ini mencerminkan semangat keusahawanan yang tinggi dalam kalangan veteran TLDM di Melaka, sekaligus membuktikan bahawa warga veteran bukan sahaja berdaya tahan dalam kehidupan pasca perkhidmatan, malah mampu menjana sumber pendapatan secara mandiri.
Menurut Presiden PVTLDM, usaha yang dilaksanakan ini mempunyai potensi besar untuk memberi manfaat bukan sahaja kepada pelaksana projek, tetapi juga kepada PVTLDM Cawangan Melaka secara keseluruhannya. Manfaat tersebut merangkumi penambahan peluang ekonomi, pengukuhan jaringan komuniti veteran, serta pembukaan ruang untuk penjanaan hasil yang lebih mampan bagi persatuan.
Selain itu, projek Homestay Veteran dilihat mampu menarik pelancong tempatan dan luar negeri, sekali gus mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan berteraskan warisan maritim. Sementara itu, tanaman seperti petai hybrid dan pisang tanduk pula berpotensi untuk menembusi pasaran tempatan dan luar negara, manakala penanaman tiram cendawan menawarkan sumber makanan berkualiti yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Kejayaan inisiatif-inisiatif ini juga membuktikan bahawa pendekatan Inisiatif 3K PVTLDM yang merangkumi kebajikan, kerjaya dan keusahawanan dapat dilaksanakan secara praktikal di peringkat cawangan, dengan memberi kesan positif kepada komuniti veteran dan masyarakat setempat.
Presiden PVTLDM menzahirkan ucapan tahniah kepada Tuan Isa bin Kasim dan seluruh warga PVTLDM Melaka atas usaha membumi dan membina ini, sambil menegaskan bahawa ia wajar dijadikan contoh kepada cawangan lain dalam memperkukuh ekonomi veteran secara lestari.