KURSUS INNOVATIVE & ON-DEMAND DIGITAL CONTENT PRODUCTION BUKTIKAN VETERAN TLDM TERUS RELEVAN DI ERA DIGITAL

KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2025 – Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) dengan kerjasama International Career Academia telah berjaya menganjurkan Kursus Innovative & On-Demand Digital Content Production selama lima hari, bermula 4 hingga 8 Ogos 2025, bertempat di Bridge Academy, KL Eco City. Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Inisiatif 3K PVTLDM, khususnya dalam aspek meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sepanjang lima hari penganjuran, peserta telah mengikuti sesi pembelajaran hands-on yang padat dan interaktif, meliputi pelbagai kemahiran digital seperti penggunaan Canva, penulisan skrip, aplikasi ChatGPT, teknik rakaman video, penyuntingan menggunakan CapCut dan Canva Video, serta pengendalian Facebook Live. Kaedah pengajaran yang digunakan memastikan setiap peserta dapat menguasai kemahiran secara praktikal, sambil berpeluang berkongsi idea dan bekerja dalam suasana yang mesra serta penuh gelak tawa.

Menariknya, setiap modul turut disertakan dengan kuiz Kahoot yang menawarkan hadiah, menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan. Peserta juga diberi tugasan projek individu sebagai penilaian akhir, memastikan setiap kemahiran yang dipelajari dapat diterjemahkan secara kreatif dalam bentuk penghasilan kandungan digital sebenar.

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan, bukan sahaja daripada kalangan veteran muda, malah turut disertai veteran senior termasuk Tan Sri Ramlan. Kehadiran rakan veteran dari Persatuan Veteran ATM (PVATM) Wilayah Persekutuan dan Veteran TUDM turut memeriahkan suasana, membuktikan semangat kolaborasi antara pelbagai komuniti veteran.

Program ini turut menerima kunjungan Ahli Parlimen Lumut, YB Nordin bin Ahmad Ismail, yang hadir meninjau sendiri perjalanan kursus ini. Beliau menyatakan penghargaan kepada PVTLDM atas penganjuran kursus secara percuma kepada veteran, yang disifatkan sebagai satu usaha tepat dalam memperkasakan kemahiran digital golongan tersebut.

Presiden PVTLDM, Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (B), menzahirkan rasa bangga atas komitmen dan semangat para peserta. Beliau turut mengumumkan bahawa kursus lanjutan dan kursus asas untuk veteran yang belum berpeluang menyertai akan dirancang pada masa terdekat.

Kursus ini diharap menjadi langkah awal bagi membolehkan Veteran TLDM terus relevan dalam dunia digital yang pesat berubah, sekaligus membuka peluang baharu dalam bidang keusahawanan, media sosial, dan pemasaran digital.