MERDEKA GOLF CHARITY CUP 2025 ANJURAN PVTLDM BERLANGSUNG GEMILANG DI SUNGAI LONG

KAJANG, 13 Ogos 2025 – Acara berprestij Merdeka Golf Charity Cup (MGCC) 2025 anjuran Persatuan Veteran Tentera Laut DiRaja Malaysia (PVTLDM) telah berlangsung dengan penuh gemilang di Sungai Long Golf & Country Resort (SLGCR) semalam. Program yang dianggap sebagai antara acara terbesar PVTLDM tahun ini bukan sahaja menghimpunkan para pemain golf dari pelbagai latar belakang, malah turut menjadi pentas utama dalam memperkukuh solidariti veteran Tentera Laut serta membina jaringan strategik dengan pelbagai pihak.

Seawal pagi, suasana di padang golf Sungai Long sudah meriah dengan kehadiran peserta dan para penyokong yang tidak sabar untuk memulakan permainan. Keindahan cuaca sepanjang hari turut menambah seri penganjuran, menjadikan acara ini lebih lancar dan bermakna. PVTLDM turut berbesar hati menerima kehadiran tokoh kenamaan yang hadir memberikan sokongan, antaranya YB Adly Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan, Timbalan Panglima Tentera Laut, Dato’ Semaon Marjuki, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Presiden PVATM, serta Presiden Malaysia Golf Association. Kehadiran mereka bukan sahaja memeriahkan suasana, malah mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha PVTLDM memperkasakan peranan veteran dalam masyarakat.

Pada sebelah malam, majlis diteruskan dengan acara kemuncak iaitu pelancaran beberapa program dan produk utama PVTLDM. Antaranya termasuk Program KEMUDI E25, sebuah inisiatif khas bagi melahirkan 25 usahawan dalam kalangan Veteran TLDM, serta pelancaran produk minuman alkali rasmi PVTLDM, ION8. Turut diumumkan ialah pra-pelancaran Larian Amal PVTLDM yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya pada bulan November 2025.

Majlis makan malam turut diserikan dengan persembahan daripada selebriti veteran TLDM seperti Suhaimi Meor Hassan dan Ajak Shiro, selain penampilan istimewa anak kepada veteran TLDM yang mendeklamasikan sajak bersempena bulan kemerdekaan. Kehadiran mereka membuktikan bahawa warga veteran bukan sekadar dikenang atas jasa lalu, tetapi terus diberi ruang untuk menyerlahkan bakat dan menyumbang dalam pelbagai cara.

Penganjuran MGCC 2025 jelas mencerminkan usaha berterusan PVTLDM dalam mengubah persepsi masyarakat bahawa veteran bukan sekadar penerima bantuan, sebaliknya penyumbang besar kepada pembangunan sosioekonomi negara. Presiden PVTLDM, Kdr Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (B), menegaskan bahawa sokongan pelbagai pihak amat penting untuk memastikan veteran terus berdiri teguh sebagai aset negara yang berdaya saing.

Acara ini tidak mungkin berjaya tanpa kerjasama erat daripada pelbagai pihak, khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, para veteran Tentera Laut, PVTLDM Cawangan Kuala Lumpur, serta Sungai Long Golf & Country Club yang telah memberikan komitmen penuh dalam menjayakan program ini.

Dengan sambutan hangat dan kejayaan penganjuran MGCC 2025, PVTLDM terus membuktikan bahawa mereka merupakan wadah utama bagi veteran TLDM untuk terus relevan, berdaya maju, dan menyumbang ke arah pembangunan negara.