KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2025 – Persatuan Veteran Tentera Laut DiRaja Malaysia (PVTLDM) sekali lagi menzahirkan komitmennya dalam mendampingi warga TLDM yang bakal bersara melalui penganjuran taklimat khas persediaan pesara di KD Sri Gombak, semalam. Program ini dianjurkan atas jemputan Bahagian Sumber Manusia TLDM dan disampaikan sendiri oleh Presiden PVTLDM, Komander Khairil Hariss bin Khairuddin TLDM (Bersara).
Sesi taklimat ini memberi pendedahan awal kepada anggota yang akan bersara dalam tempoh dua tahun akan datang sebelum mereka melapor diri ke PERHEBAT. Inisiatif ini dianggap penting kerana buat pertama kalinya, ia dilaksanakan secara berstruktur dengan kerjasama rapat antara TLDM dan PVTLDM untuk memastikan anggota benar-benar bersedia menghadapi fasa baharu kehidupan selepas perkhidmatan.
Dalam pembentangan, Presiden PVTLDM menegaskan bahawa persaraan adalah lumrah yang pasti ditempuh, namun perkara paling utama adalah persediaan awal serta kesedaran terhadap “red flag” yang boleh muncul, sama ada melibatkan kewangan, kerjaya atau aspek sosial. Beliau turut menekankan bahawa veteran perlu berada dalam “circle” yang betul agar mereka terus mendapat sokongan dan bimbingan selepas bersara.
Selain itu, taklimat ini turut memberi penekanan kepada kepentingan menyertai PVTLDM. Dengan menjadi ahli, bakal pesara dapat terus menikmati akses kepada maklumat terkini, peluang ekonomi, sokongan kebajikan, serta pelbagai inisiatif pembangunan kerjaya dan keusahawanan.
“Bersara bukan noktah, tetapi peluang baharu. Sertailah PVTLDM agar anda kekal relevan dan tidak terlepas daripada manfaat yang tersedia khusus untuk veteran Tentera Laut,” ujar beliau semasa sesi tersebut.
Taklimat ini disambut baik oleh peserta yang hadir, yang rata-ratanya menghargai panduan praktikal dan perkongsian pengalaman yang diberikan. Program ini juga menandakan langkah awal bagi TLDM dan PVTLDM untuk mempersiapkan warga laut ke arah persaraan dengan lebih sistematik, yakin dan berdaya saing.
Mereka yang berminat untuk menyertai atau mengetahui lebih lanjut mengenai program PVTLDM boleh melayari laman rasmi persatuan di https://pvtldm.org/.