
SIBU, 11 Oktober 2025 – Ahli Jawatankuasa Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Cawangan Negeri Sarawak telah dijemput menghadiri Monument Ceremony Commemorating the 80th Anniversary of the Surrender of the Japan Imperial Army yang diadakan di Chian Chuan Garden, Jalan Temple, Sibu.
Upacara penuh bermakna ini bertujuan memperingati detik bersejarah penyerahan rasmi Tentera Imperial Jepun yang menandakan berakhirnya Perang Dunia Kedua di rantau ini. Kehadiran PVTLDM Sarawak dalam majlis ini mencerminkan penghargaan mendalam terhadap perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan serta veteran yang telah berbakti demi keamanan negara.
Majlis turut dihadiri oleh wakil kerajaan negeri, pemimpin masyarakat, dan wakil pertubuhan bukan kerajaan. Pelbagai aktiviti diadakan termasuk upacara meletakkan kalungan bunga dan bacaan doa sebagai tanda penghormatan kepada para perwira yang gugur.
Penyertaan PVTLDM Cawangan Sarawak dalam upacara ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat, malah menzahirkan komitmen berterusan persatuan dalam menghargai sejarah ketenteraan serta memupuk semangat patriotisme di kalangan generasi baharu.